
PATTAYA – Polis Thailand menemui mayat seorang lelaki warga Rusia yang dilaporkan hilang lebih tiga minggu lalu dalam keadaan mengerikan, selepas dipercayai dibunuh dan dikerat sebelum ditanam di beberapa lokasi berasingan berhampiran sebuah kolam di Pattaya.
Mangsa dikenali sebagai Mikhail Emelianov, 30, yang dilaporkan hilang sejak awal Januari lalu.
Mayat dikerat, ditimbus di lima lokasi
Menurut media tempatan, hasil siasatan awal mendapati tubuh mangsa dipotong kepada beberapa bahagian sebelum ditanam di lima tempat berbeza.
Polis percaya pembunuhan itu dilakukan secara kejam dan terancang berdasarkan cara pelupusan mayat, sekali gus menunjukkan suspek cuba menghapuskan bukti jenayah.
Motif dipercayai hutang perniagaan ganja
Siasatan awal mendapati kes itu dipercayai berkait pertikaian hutang melebihi AS$120,000 (kira-kira RM560,000).
Hutang tersebut didakwa melibatkan urus niaga perniagaan ganja yang gagal.
Pihak berkuasa turut menemui mesej ugutan dihantar kepada mangsa sebelum kejadian, dipercayai menuntut bayaran hutang berkenaan.
Ibu terbang dari Rusia cari anak
Sebelum penemuan mayat, ibu mangsa, Olga Lazarenko, 51, dilaporkan terbang dari Rusia ke Thailand untuk menjejaki anak tunggalnya.
Menurutnya, anaknya kali terakhir menghubungi pada 7 Januari dalam keadaan cemas dan ketakutan.
Mangsa sempat berkongsi lokasi langsung (live location) serta memaklumkan dia berasa terancam.
Dalam mesej terakhir, mangsa memberitahu dia akan ke Bangkok bersama dua lelaki dan memberi amaran bahawa jika gagal menghubungi ibunya dalam tempoh dua jam, itu bermakna dia berada dalam bahaya serius.
Sejak itu, dia terus hilang tanpa khabar berita.
Seorang suspek ditahan, beberapa lagi diburu
Kes kini dikendalikan oleh Balai Polis Nongprue, dengan siasatan dijalankan secara intensif.
Seorang suspek warga asing telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala beberapa individu lain, termasuk warga tempatan dan asing, sedang diburu kerana disyaki terlibat sebagai rakan subahat.
Polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek akan dikenal pasti dalam masa terdekat. – The Malaysian Update
The post Kejam! Lelaki Rusia Hilang 3 Minggu Ditemui Dikerat, Ditimbus Di Lima Lokasi Di Pattaya appeared first on The Malaysian Update.




