Kejayaan Pelajar UPSI Serlah Bakat Fesyen di Pentas Antarabangsa

Women's Fashion
2 Nov 2025 • 11:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Kejayaan Pelajar UPSI Serlah Bakat Fesyen di Pentas Antarabangsa
Enam pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI bergambar ketika menyertai Horizone Trendversity 2025 International Fashion Exhibition di Universitas Malang Indonesia. Photo credit: Arasinah Kamis

Enam pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama Malaysia apabila menyertai pameran dan pertandingan pertunjukan fesyen antarabangsa bertemakan “Horizone: Trendversity 2025” yang berlangsung di Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia, baru-baru ini.

Acara anjuran Pendidikan Tatabusana, Fakultas Teknik UM itu dirasmikan oleh Rektor Universitas Negeri Malang bersama Dekan Fakultas Vokasi dan bertujuan memperkukuh hubungan antara dunia pendidikan, seni, fesyen serta teknologi ke arah pembangunan mampan.

Sebanyak 258 rekaan pakaian dipersembahkan berasaskan Worth Global Style Network (WGSN) International Fashion Trend Forecasting 2025/2026, dengan penyertaan institusi pendidikan dari pelbagai negara.

Program itu turut diserikan dengan sesi wacana fesyen bersama Prof. Madya Dr. Ka Tat Nixon Chen dari Mahidol University International College (MUIC), Thailand, serta pereka terkenal tempatan Chrisnawati Evayana, Dwi Haris Setyawan dan Yeti Topiah.

Enam pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Rumah Tangga UPSI iaitu Radin Wafa Kamaruzaman, Nur Syamimi Mohd Sukeri, Nurin Aqilah Mohamad Nawi, Nor Ain Aina Norhisoh, Nurul Fazliana Mat Nawi dan Nur Anis Fariha mempersembahkan koleksi bertemakan pakaian malam.

Radin Wafa muncul pemenang Best Costume, sekali gus mengangkat nama UPSI ke pentas fesyen antarabangsa setanding universiti luar negara.

Kejayaan itu hasil bimbingan Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis dan pereka fesyen Cik Senijulita Johari yang mengajar kursus Pembuatan Pakaian Wanita Lanjutan di fakulti berkenaan.

Menurut kenyataan UPSI, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan pelajar Malaysia bukan sahaja dalam bidang akademik dan vokasional, malah turut menyerlah dalam bidang kreatif serta inovasi fesyen. Majlis penutupan diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan anugerah kepada semua peserta di Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang.

Program berkenaan turut menyokong aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, untuk memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi seperti digariskan dalam Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Januari 2024.

Pertunjukan fesyen antarabangsa ini menjadi platform penting bagi melonjakkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain membawa elemen warisan budaya ke peringkat global melalui pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.