Kek vegetarian Jalur Gemilang catat rekod MBOR sempena Hari Kebangsaan

LocalFood
31 Aug 2023 • 8:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kek vegetarian berbentuk Jalur Gemilang gergasi dihasilkan dengan kerjasama Tourism Johor dan kumpulan cef dari beberapa hotel di negeri ini serta Persatuan Juara Juru Masak Malaysia.- Foto Tourism Johor

image is not available
Kek vegetarian berbentuk Jalur Gemilang gergasi mencipta sejarah apabila tercatat dalam MBOR.- Foto Tourism Johor

ISKANDAR PUTERI - Kek vegetarian berbentuk Jalur Gemilang gergasi yang dihasilkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 hari ini mencipta sejarah apabila tercatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai kek vegetarian terbesar.

Master Cef Selebriti Malaysia, Michael Ooi Beng Hock yang mengetuai pembuatan kek tersebut berkata, ia dihasilkan dengan kerjasama Tourism Johor dan kumpulan cef dari beberapa hotel di negeri ini serta Persatuan Juara Juru Masak Malaysia (MCMA).

Beliau berkata, kek seberat 750 kilogram (kg) dan bersaiz 2.7 meter (m) panjang dan 1.5m lebar itu, dihasilkan dalam masa 48 jam.

**media[2328028]**

"Kek ini tidak menggunakan telur sebaliknya hanya tepung, gula aising dan marjerin serta ditambah coklat chip dan coklat rice. Secara keseluruhan kami guna kira-kira 600kg tepung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di selepas majlis pengiktirafan MBOR di Majestic Johor Festival (MJF) Edisi 2023 di Puteri Harbour di sini petang tadi.

Sesi memotong kek berkenaan disertai Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim, Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors Event Sdn Bhd, Datuk Saripah Raziah Mustapha atau Ifa Raziah.

Michael berkata, kek tersebut turut diberikan secara percuma kepada pengunjung yang hadir ke festival berkenaan.

Menurutnya, penghasilan kek vegetarian itu pada masa sama memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada cef muda yang menyertai acara itu.

"Apa yang penting melalui acara ini kita dapat tolong cef muda menimba pengalaman lebih-lebih lagi dalam mempersiapkan diri mereka untuk menyertai pertandingan di luar negara," katanya.

MJF 2023 yang diadakan dari 26 Ogos hingga 3 September dianjurkan oleh kerajaan negeri menerusi Tourism Johor dengan kerjasama pelbagai agensi dan Star Vendors. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: