Kekal fokus: Alto

LocalFootball
23 Aug 2025 • 1:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Alto Linus memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak bersikap sambil lewa apabila Sabah FC turun melayani Kelantan The Red Warrior dalam aksi Liga Super petang ini (Sabtu) di Stadium Likas.

Penolong ketua jurulatih itu juga menggesa pemain untuk meneruskan rentak kemenangan selepas mengatasi Bunga Raya FC dalam Piala FA untuk mendapatkan kemenangan liga pertama mereka pada musim baharu.

“Kami memperoleh keputusan positif dalam dua perlawanan terakhir selepas seri 1-1 di tempat lawan dengan Kuala Lumpur City dalam liga dan kemenangan 6-0 ke atas Bunga Raya FC dalam perlawanan pertama pusingan 16 akhir Piala FA.

“Kemenangan besar itu sudah tentu meningkatkan keyakinan pasukan, tetapi pada masa sama, kami tidak boleh terlalu leka kerana setiap perlawanan adalah penting terutama apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di Likas buat kali pertama musim ini.

“Kami perlu kekal fokus dan bermain dengan penuh disiplin jika ingin mendapatkan mata maksimum,” katanya pada Jumaat.

Alto juga menyedari ancaman yang ditimbulkan oleh pasukan pelawat yang dibimbing bekas jurulatih Bawah 23 Tahun Kebangsaan, E. Elavarasan.

“Kehadiran Elavarasan sebagai ketua jurulatih baharu telah membawa impak positif kepada Kelantan The Real Warriors.

“Mereka bukan lawan yang mudah seperti yang dibuktikan dengan kemenangan 3-1 di tempat sendiri ke atas Kuala Lumpur City FC dalam Piala FA.”Tambahnya, mereka mungkin menghadapi sedikit masalah dalam menyediakan kesebelasan utama untuk perlawanan itu.

“Ada beberapa pemain yang masih belum cergas sepenuhnya. Tetapi saya yakin sesiapa yang diberi peluang tahu apa yang perlu dilakukan dan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawitt Kinabalu Datuk Victor Ationg telah dinamakan sebagai pengurus pasukan baharu Sabah FC musim ini mengambil alih jawatan Rafie Robert.