
Setiap kali dunia bergolak sama ada akibat perang yang meletus atau laluan dagang antarabangsa terganggu, selalunya rakyat marhen yang akan ‘bersin' dahulu.
Hakikat perlu diakui, golongan paling awal terasa 'sesak nafas' bukanlah sang kapitalis atau pemilik syarikat gergasi, tetapi rakyat bawahan - abang pemandu e-hailing, pakcik nelayan yang turun ke laut, pesawah, serta makcik yang menjual nasi lemak di tepi jalan.
Hari ini, kita sekali lagi disajikan drama krisis tenaga global yang semakin meruncing. Ketegangan di Asia Barat nampaknya belum ada tanda-tanda mahu reda. Ditambah kawalan ketat di Selat Hormuz menyebabkan pasaran tenaga antarabangsa terus 'melompat' tidak menentu.
Malaysia tidak boleh lari daripada tempias ini. Harga minyak mentah dunia yang melonjak tinggi mula meletakkan tekanan yang amat berat di atas bahu kerajaan.
Namun, di tengah-tengah ribut global ini, pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu keputusan agak berani, memilih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter, manakala diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan tetap bertahan pada angka RM2.15 seliter.
Percayalah, atas kertas dan perkiraan matematik mudah, itu bukan satu keputusan yang senang untuk dibuat.
Bagi sesetengah pakar ekonomi, subsidi sering kali dilabel sebagai 'beban' atau 'raksasa' yang merosakkan kedudukan fiskal negara. Bagi mereka ini, semuanya mahu diapungkan mengikut harga pasaran bebas.
Namun mereka ini terlupa satu perkara. Di sebalik setiap sen subsidi dibayar kerajaan, ada jutaan perut rakyat yang perlu diisi.
Hakikatnya subsidi bahan api di negara ini bukan sekadar formula ekonomi, ia instrumen perlindungan sosial. Subsidi juga menjadi benteng terakhir yang menghalang inflasi daripada meroket ke langit.
Bayangkan jika esok pagi subsidi ini ditarik mengejut ketika harga pasaran dunia sedang menggila, kos lori tangki naik, kos pengangkutan barang melonjak dan dalam masa 24 jam, harga sekilogram sawi atau sepaket mihun di pasar malam pun akan ikut melompat.
Peniaga kecil tiada pilihan selain memindahkan kos kepada pembeli. Akhirnya, kelompok B40 dan M40 juga yang terhimpit.
Kesan ini lebih berganda buat saudara kita di Sabah dan Sarawak. Di sana, diesel bukan sekadar bahan api untuk bersiar-siar, tetapi ia urat nadi pengangkutan, pertanian dan perikanan. Naik sahaja harga diesel, maka rantaian bekalan logistik di pedalaman akan terjejas teruk.
Jadi, tindakan kerajaan mengekalkan 'payung' subsidi ketika pasaran global sedang bergelora sebenarnya adalah satu talian hayat buat rakyat.
Namun, sebagai rakyat yang matang, kita tidak boleh menutup mata daripada realiti yang sedang dihadapi kerajaan. Kita kena berlaku adil.
Sebelum ketegangan geopolitik ini memuncak, kos subsidi bahan api negara hanya sekitar RM700 juta sebulan. Angka itu pun sudah buat ramai pegawai perbendaharaan pening kepala. Namun untuk Mei ini, angkanya sudah melonjak drastik mencecah RM5 bilion sebulan.
Di sinilah wujudnya dilema yang cukup kompleks. Macam mana mahu jaga kebajikan rakyat, dalam masa sama memastikan kantung negara tidak 'rabak' dalam jangka panjang.
Menanggung subsidi setinggi itu tanpa had adalah satu tindakan yang mustahil. Sebab itu, formula subsidi bersasar mula diperkenalkan.
Logiknya mudah, bantuan mesti disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan. Adalah tidak adil jika pemilik kereta mewah dengan enjin besar menikmati subsidi pukal yang sama dengan seorang penunggang motosikal yang gigih menghantar makanan demi menyara keluarga.
Kita harus faham, kaedah subsidi bersasar ini mungkin tidak sempurna dan proses pelaksanaannya sentiasa memerlukan penambahbaikan. Namun, dalam situasi serba salah hari ini, ia pilihan paling munasabah berbanding memotong terus subsidi secara drastik demi mengejar angka 'cantik' di atas kertas bajet.
Penghapusan subsidi secara mengejut ketika kadar gaji rakyat belum berkembang seiring inflasi hanya akan mengundang parut sosial yang lebih parah.
Bagaimanapun, subsidi tetap bukan jawapan muktamad untuk masa depan. Untuk jangka panjang, Malaysia mahu atau tidak, perlu beralih ke arah pengangkutan awam yang lebih efisien dan mula melabur dalam tenaga boleh diperbaharui.
Kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebelum telaga minyak dunia benar-benar kering atau pasaran terus menjadi gila.
Apa pun, transformasi itu memakan masa bertahun-tahun. Sementara kita mahu melangkah ke arah masa depan hijau itu, rakyat di bawah perlu hidup dan bernafas hari ini.
Dalam krisis tenaga global yang sedang melanda, keputusan kerajaan untuk terus memikul beban bil berbilion ringgit ini membuktikan satu perkara - kebajikan dan kestabilan hidup rakyat marhaen masih menjadi keutamaan tertinggi.
Cabarannya sekarang bagaimana kita sebagai sebuah negara menguruskan keseimbangan ini dengan bijak, demi memastikan poket rakyat selamat dan masa depan negara tetap terpelihara. - Getaran, 1 Jun 2026
