Kekejaman Terhadap Gaza Perlu Dihentikan, Rakyat Palestin Perlukan Bantuan - MAHAR

WorldPolitics
9 Apr 2025 • 5:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Serangan ke atas Gaza masih berterusan walaupun gencatan senjata sudah dilaksanakan - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Semua bentuk serangan ke atas Gaza perlu dihentikan bagi membolehkan bantuan disalurkan tanpa halangan.

Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, konflik kemanusiaan yang melanda Palestin memerlukan perpaduan semua negara Islam, untuk kekal menekan Israel agar menghentikan semua kekejaman. 

Menurut beliau, ia termasuk mengkaji semula hubungan diplomatik dan perjanjian damai yang membolehkan kezaliman terus berlaku.

“Pelaksanaan boikot menyeluruh terhadap produk dan syarikat yang menyokong atau bersekongkol dengan rejim Israel juga perlu dilakukan, selain mobilisasi jihad harta dengan menggalakkan rakyat Malaysia serta komuniti antarabangsa menyumbang secara langsung kepada misi bantuan kemanusiaan.

“Sokongan terhadap tindakan undang-undang antarabangsa dan tekanan diplomatik terhadap pihak yang terlibat dalam jenayah perang ke atas rakyat Palestin juga perlu digerakkan secara agresif,” katanya.

Jelas Jismi, serangan terbaharu di kawasan Shuja’iyya sekali lagi memperlihatkan kekejaman sistematik terhadap orang awam, termasuk wartawan dan pasukan bantuan yang turut menjadi mangsa. 

Senario ini katanya, bukan lagi sekadar konflik, tetapi adalah malapetaka kemanusiaan.

“MAHAR juga ingin menzahirkan kebimbangan terhadap pembentukan Morag Corridor oleh tentera Israel – sebuah zon keselamatan yang memotong Semenanjung Gaza kepada beberapa bahagian. 

“Koridor ini bukan sahaja menyekat pergerakan rakyat Palestin, malah secara langsung melumpuhkan sistem sokongan kemanusiaan dan menjejaskan penyampaian bantuan,” katanya. 

Tegas beliau, koridor tersebut yang diumumkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 2 April lalu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha sistematik bagi memecahkan struktur sosial dan geografi Gaza, sekali gus menekan perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan.

“MAHAR berdiri teguh bersama rakyat Gaza. Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, NGO, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa untuk menyertai misi bantuan kami, menyumbang dan menyebarkan mesej solidariti serta keadilan. Kita mungkin jauh di mata, namun kita perlu dekat di hati, bersatu dalam tindakan dan kemanusiaan,” katanya.

Jismi berkata, fatwa dikeluarkan Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (IUMS) yang menyeru umat Islam seluruh dunia untuk bangkit mempertahankan rakyat Palestin termasuk secara bersenjata, dilihat sebagai kekecewaan umat Islam dengan kekejaman tidak berkesudahan serta kegagalan komuniti antarabangsa menghentikan kezaliman terhadap rakyat Gaza.

“Fatwa ini juga menekankan kewajipan menyokong perjuangan rakyat Palestin dari segi ketenteraan, kewangan, politik dan undang-undang.

“Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan atau kerjasama, sila layari platform rasmi kami atau hubungi info@mahar.org.my.,” katanya. - Getaran, 9 April 2025