Kekurangan bakat, kemahiran merupakan halangan terbesar Malaysia realisasikan potensi AI - Georg Chmiel

27/08/2025 - 11:34
Gambar: Freepik Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kekurangan bakat dan kemahiran merupakan halangan terbesar Malaysia dalam merealisasikan potensi sebenar kecerdasan buatan (AI) walaupun menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan AI menerusi pelbagai dasar dan inisiatif.
Pengasas Chmiel Global Advisory dan Ahli Lembaga World Digital Chamber, Georg Chmiel berkata, AI tidak akan membawa impak sebenar tanpa pelaburan besar dalam pembangunan modal insan.
“Malaysia mempunyai idea yang betul, tetapi kekurangan bakat ketika ini menjadi halangan utama.
"Penerapan AI hanya akan menjadi kata kunci tanpa sebarang hasil produktiviti yang ketara jika tidak ada usaha besar-besaran dalam melatih semula tenaga kerja," katanya dalam satu kenyataan.
Meskipun lebih 70% perniagaan di Malaysia menunjukkan minat untuk menggunakan AI, penglibatan pekerja masih rendah. Kajian Khazanah Research Institute dan TD SYNNEX Malaysia turut menyuarakan kebimbangan bahawa jurang kemahiran AI boleh menggugat daya saing negara jika tidak ditangani segera.

“Teknologi sahaja tidak mencukupi untuk mencipta transformasi. Tanpa tenaga kerja yang mampu bekerjasama dengan AI, syarikat akan gagal untuk menuai manfaat sebenar daripada pelaburan mereka,” jelas Chmiel.
Berbeza dengan kebimbangan umum, Chmiel percaya AI akan mengubah sifat pekerjaan di Malaysia, bukan menghapuskannya tetapi ia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bidang bernilai tinggi.
Pekerjaan yang dijangka berkurang termasuk khidmat pelanggan berulang, penulisan kandungan asas dan pengaturcaraan rutin manakala pekerjaan yang dijangka bertambah adalah tadbir urus AI dan pematuhan undang-undang, keselamatan siber dan etika data, reka bentuk produk dan kerjasama manusia-AI.
“AI tidak akan mengambil sebarang pekerjaan — tetapi seseorang yang memiliki kemahiran AI akan mengambilnya,” katanya.
Chmiel mencadangkan, Belanjawan 2026 menumpukan kepada transformasi tenaga kerja secara menyeluruh dan antara cadangan utamanya termasuk penubuhan Dana Transformasi Tenaga Kerja AI Kebangsaan, yang bertujuan melatih semula lebih 200,000 rakyat Malaysia dalam kemahiran berkaitan AI dalam tempoh tiga tahun, termasuk pengintegrasian modul AI dalam TVET, universiti, dan pensijilan profesional.
“Malaysia bukan sahaja perlukan jurutera AI – malah perlukan juga pengurus projek, pemasaran dan pemimpin perniagaan yang celik AI,” katanya.
Belanjawan 2026 sebagai detik penting bagi Malaysia beralih daripada retorik kepada pelaksanaan.
Antara cadangan bagi mengukuhkan ekosistem AI negara termasuk pembiayaan bersama untuk transformasi digital PKS, rangka undang-undang dan tadbir urus AI yang jelas, insentif berdasarkan prestasi, bukan hanya kehadiran teknologi serta penubuhan Hab AI Wilayah di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
“Malaysia boleh menjadi peneraju dalam transformasi AI — tetapi hanya jika bertindak sekarang. Jika kita tunggu terlalu lama, bukan sahaja kita ketinggalan dari segi ekonomi, tetapi juga akan terlepas gelombang produktiviti global yang seterusnya," kata Chmiel. - DagangNews.com
featured standard
