Kekurangan pakar bedah jantung kritikal - Dr Kelvin

16 May 2024 • 8:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Kelvin

SHAH ALAM - Kekurangan doktor pakar pembedahan jantung amat kritikal dan membimbangkan di negara ini apabila dianggarkan hanya mampu menghasilkan 19 peratus doktor pada tahun 2025, kurang 11 peratus bagi mencapai sasaran sebanyak 30 peratus.

Ahli Parlimen Kuching yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, sedangkan negara memerlukan doktor pakar satu nisbah 500,000 pada tahun 2025 dan satu nisbah 450,000 pada 2030.

Katanya, berdasarkan kepada kadar nisbah semasa, negara kekurangan 15 peratus tenaga pakar pembedahan jantung yang diperlukan pada tahun 2030.

"Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengunjurkan pada 2025 negara kita akan mempunyai populasi penduduk sebanyak 36,022,700 dan 38,062,200 bagi 2030. Berdasarkan anggaran nisbah di atas, Malaysia memerlukan 90,057 orang doktor pada 2025 dan 114,187 orang doktor pada 2030.

"Daripada jumlah yang dinyatakan, sektor awam memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus doktor pakar. Ini bermakna kita memerlukan seramai 18,912 (2025) dan 23,979 (2030) doktor pakar di sektor awam kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM)-Institut Jantung Negara (IJN), Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Tambah Dr Kelvin, permasalahan itu memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan negara dan kualiti perkhidmatan pesakit yang amat serius jika masalah tidak ditangani dengan baik.

"Ramai pesakit terpaksa menunggu sehingga enam bulan atau setahun bagi mendapatkan pembedahan jantung. Amat menyedihkan kerana ada yang meninggal dunia sementara menunggu giliran rawatan mereka.

"Saya percaya bahawa kita harus fokus untuk membicarakan solusi terbaik mengenai isu ini. Semua institusi lokal yang berkebolehan dan berkemampuan harus memaksimakan kemampuan mereka menghasilkan tenaga pakar," ujarnya.

Menurut beliau, pilihan jangka pendek yang ada adalah mencadangkan agar UiTM menerima pelajar bukan Melayu untuk melanjutkan pelajaran mereka di institusi itu.

"Hal ini juga didorong oleh faktor bahawa UiTM mempunyai formula silibus kurikulum yang terbaik di dalam Pembedahan Jantung. Para pelajar akan dipindahkan ke Universiti Malaya (UM) setelah program sarjana pembedahan jantung mereka digubal dengan lengkap sepenuhnya kelak.

"Cadangan ini merupakan satu tindak balas kecemasan negara kita khususnya di dalam menyediakan dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit bukannya mencabar kedudukan istimewa atau hak perlembagaan Melayu yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!