Kelab Bimbingan Pan-gon, Ulsan HD Dibelasah JDT 3-0

LocalFootball
6 Nov 2024 • 10:18 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya bangkit semula dengan kemenangan penting dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur ketika beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Menurut laporan Sinar Harian, skuad bola sepak di bawah bimbingan Hector Bidoglio itu mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Ulsan HD, kelab dari Liga-K yang berada di kedudukan terbawah kumpulan, dengan jaringan 3-0, mengatasi pasukan yang kini dikendalikan oleh bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Skuad kendalian Bidoglio mengumpul tujuh mata dalam empat perlawanan setelah meraih kemenangan melalui jaringan Arif Aiman pada minit kelapan, Oscar Arribas pada minit ke-67 dan rembatan pemain gantian, Bergson Gustavo da Silva pada minit ke-88.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Hasil jaringan tiga mata itu bukan sahaja mengangkat JDT ke kedudukan ketiga Zon Timur, malah menambah baik rekod pertemuan mereka dengan Tigers kepada empat kemenangan berbanding satu kekalahan sejak tahun 2022.

Sebagai rekod, JDT memulakan kempen ACLE dengan mengikat juara Liga Super China, Shanghai Port dengan mata seri 2-2, sebelum memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengatasi satu lagi wakil China, Shanghai Shenhua FC dengan mata 3-0.

Namun begitu, rekod kemenangan pendahulu Liga Super dilebur wakil Korea Selatan, Gwangju FC selepas ditewaskan 1-3 di Stadium Yongin Mireu.

JDT seterusnya akan meneruskan saingan liga teratas kelab Asia dengan melayan kunjungan kelab liga Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, 3 Disember depan.

Sumber: Sinar Harian (Zuraimee Zainal)