Kelab EPL tawar RM49 juta dapatkan pertahanan Harimau Malaya

LocalFootball
3 Sep 2025 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Garces

SEBUAH kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan telah mengemukakan tawaran bernilai €10 juta (RM49 juta) untuk mendapatkan khidmat pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces, lapor media Sepanyol, Cadena SER.

Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak oleh kelabnya, Deportivo Alaves yang enggan melepaskan pemain itu hanya beberapa jam sebelum jendela perpindahan ditutup.

"Pengurusan Alaves bimbang kehilangan tonggak utama pasukan pada saat akhir akan menjejaskan perancangan kerana mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk mencari pengganti," kata laporan itu.

Difahamkan, pihak kelab melihat semua posisi dalam skuad kini sudah mempunyai persaingan yang sihat dengan kehadiran Garcés, Pacheco, Tenaglia, Diarrá dan Maras di benteng tengah.

Sementara itu, di bahagian sayap kiri pula, selain Aleñá dan Abde, kelab tersebut juga mahu memberi ruang kepada Yusi untuk beraksi secara konsisten di posisi tersebut.

Garces menjadi watak penting kepada Alaves dalam saingan La Liga musim ini dan beraksi penuh dalam tiga perlawanan kelab itu.

Pemain kelahiran Argentina itu dan mempunyai darah warisan Malaysia membuat penampilan pertama bersama pasukan negara ketika aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada Jun lalu yang menyaksikan Harimau Malaya menang 4-0.

Beliau juga berada dalam skuad Harimau Malaya untuk dua aksi persahabatan menentang Singapura pada Khamis dan Palestin pada Isnin ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved