Kelab Komedi Disimbah Cat, Polis Cari 2 Lelaki

20 Jul 2022 • 6:59 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis telah mendapatkan rakaman CCTV mengenai kejadian kelab komedi disimbah cat dan rakaman berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk mendapatkan analisis pakar. - Gambar oleh Alif Omar

KUALA LUMPUR - Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini yang menjadi lokasi seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudung ketika membuat persembahan komediri, disimbah cat oleh dua lelaki pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata sebahagian cat yang dibaling oleh lelaki berkenaan turut terkena pintu utama sebuah bank tempatan berhampiran.

image is not available
Simbahan cat berkenaan turut terkena pada dinding sebuah bank yang terletak sebelah kelab komedi berkenaan. - Gambar oleh Alif Omar

Katanya laporan polis telah dibuat oleh pekerja bank berkenaan pada 10 pagi dan pemilik restoran terbabit pada pukul 4 petang semalam.

Amihizam berkata pemilik restoran, lelaki berusia 39 tahun memberitahu restoran miliknya telah disimbah cat berwarna merah pada papan tanda restoran manakala lantai pintu utama menuju ke tangga disimbah cat warna hitam.

“Polis telah membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank dan restoran berkenaan dan mendapati kejadian berlaku antara pukul 4.15 pagi hingga 5.09 pagi semalam.

Semakan turut mendapati dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja telah membaling dua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda restoran berkenaan namun, sebahagian dari cat hitam yang dibaling ke restoran telah terkena pada pintu utama bank dan rakaman CCTV akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk mendapatkan analisis pakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (iaitu melakukan khianat). - Bernama