
KUALA LUMPUR - Kelab Taman Perdana Diraja melucutkan gelaran penaung milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
Dalam surat yang dihantar menerusi email kepada semua ahli, presiden kelab Manjeet Singh Dhillon berkata, keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat kelab 25 Ogos lalu.
“Susulan sabitan ke atas Najib oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos, gelaran penaung Najib dilucutkan serta merta,” kata Manjeet di dalam surat itu.
Surat tersebut turut menyatakan bahawa Najib dilantik sebagai penaung kelab sejak 1 Jun, 2011.
Ketika dihubungi The Vibes, seorang petugas bahagian pengurusan yang enggan dikenali mengesahkan kesahihan surat berkenaan, namun dia enggan mengulas lanjut.
Pada 23 Ogos, Najib muncul sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang dijatuhkan hukuman penjara, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah oleh Mahkamah Tinggi sebelum itu, atas tujuh pertuduhan rasuah SRC International Sdn Bhd.
Sebagai tambahan kepada hukuman penjara 12 tahun itu, Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan denda berjumlah RM210 juta yang dikenakan sebelumnya.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun berkata, semua keputusan oleh Mahkamah Tinggi itu adalah tepat dan pihak pendakwa gagal menimbulkan keraguan munsabah.
Pada 2019, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggantung darjah kebesaran dikurniakan ke atas Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, selepas kedua-duanya berdepan pendakwaan di mahkamah.
Najib dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992.
Assalamualaikum. Salam kepada semua. Gina beritahu saya ramai yang bertanya khabar dan keadaan saya. Buat masa ini...
Posted by Najib Razak on Monday, August 29, 2022
Sementara itu, Najib menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau berada dalam keadaan ‘sihat, tenang dan baik’.
Katanya, beliau berkesempatan bertemu dengan barisan peguam dan ahli keluarga, serta mengambil peluang untuk bertanya mengenai perkembangan isu semasa sambil membincangkan hal ehwal mahkamah.
”Saya juga banyak menggunakan masa saya untuk catit pendapat saya dan serahkan kepada peguam atau keluarga saya untuk dikongsi dengan semua.
“Mungkin akan ada kelewatan sedikit tetapi apa dayanya. Inilah sahaja yang saya dapat buat,” katanya. – The Vibes, 29 Ogos 2022
