Teknologi NFC (Near Field Communication) membolehkan pembayaran nirtunai dilakukan dengan hanya menyentuh telefon kepada terminal pembayaran. Ia juga memudahkan aksesori seperti fon kepala ditambat kepada peranti dan kad Touch n’ Go ditambah nilai. Kini badan NFC Forum yang menyediakan piawaian untuk teknologi ini mula merangka masa depannya sehingga 2028 dengan pelbagai ciri yang akan menjadikannya lebih berguna.

NFC kelak akan mempunyai jarak pengesanan yang lebih jauh berbanding 5mm sekarang. Piawaian baharu ingin meningkatkannya sehingga 30mm. Dengan ini peranti tidak lagi perlu berada pada jarak yang amat dekat untuk dikesan sensor NFC.
Lebih menarik ialah cadangan meningkatkan kuasa NFC dari 1W ke 3W. Secara teorinya peranti dalam lingkungan NFC boleh dicas secara nirwayar. Ciri lain ialah memperkenalkan satu imbasan untuk pelbagai tugas. Ini mungkin berguna untuk membaca lebih daripada satu tiket kapal terbang, konsert atau wayang secara serentak. Teknologi sekarang memerlukan setiap tiket diimbas satu persatu.
NFC Forum mempunyai wakil daripada syarikat-syarikat utama seperti Apple, Google, Huawei, Identiv, Infineon, NXP, Qualcomm, Sony, dan STMicroelectronics.
