Kelantan berdepan lonjakan kebakaran terbuka, JBPM tingkat kesiapsiagaan

LocalEnvironment
29 Mar 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
JBPM Kelantan merekodkan peningkatan mendadak bilangan panggilan kebakaran terbuka sebanyak 64 peratus daripada jumlah panggilan keseluruhan pada bulan Mac ini. - Gambar kecil (Farhan Sufyan)

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan mendadak bilangan panggilan kebakaran terbuka sebanyak 64 peratus daripada jumlah panggilan keseluruhan pada bulan Mac ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menjangkakan bilangan panggilan kebakaran terbuka akan terus meningkat selari dengan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan berlakunya cuaca kering sehingga pertengahan April dan boleh berlanjutan sehingga Jun ini.

"Bermula 1 Januari sehingga 29 Mac, kami telah menerima sebanyak 1,418 kes kebakaran.

"Sebanyak 1,089 kes adalah kebakaran terbuka melibatkan keluasan kira-kira 1,618.74 hektar di seluruh Kelantan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurut beliau, ia melibatkan 880 kes kebakaran belukar, hutan (114), sampah (70) dan ladang (25).

Ujarnya, daerah Kota Bharu mencatatkan kes kebakaran terbuka paling tinggi iaitu 400 kes, diikuti Bachok (278) dan Pasir Mas (173).

"Kini kami telah dilengkapi sebanyak 28 buah jentera bomba, tujuh buah 'water tanker' berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter serta sebuah jentera jenis hidro-sub di 22 buah balai bomba di seluruh negeri bagi pengoperasian kebakaran terbuka.

"Kerja-kerja pemantauan di lapangan juga dijalankan dari semasa ke semasa dengan menumpukan kawasan tanah gambut yang dianggarkan seluas 7,688.03 hektar di seluruh negeri, yang kebanyakannya terletak di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Tok Bali dan Pasir Mas," katanya.

Ujar beliau, langkah proaktif juga dilakukan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar agar tindakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dapat diambil terhadap pelaku dan pemilik tanah, termasuk denda, penjara atau kompaun.

Farhan Sufyan memberitahu, sehingga kini keadaan masih terkawal, namun terdapat kekangan yang dihadapi dalam operasi pemadaman kebakaran terbuka seperti sumber air yang terhad dan kesukaran untuk akses ke lokasi kejadian.

"Walau bagaimanapun, sekiranya keadaan semakin kritikal, kami akan melaksanakan pembekuan cuti bersasar dan menggunakan perkhidmatan helikopter daripada Unit Udara Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan lebih lancar," katanya.

Menurut beliau, pihaknya menyeru orang awam supaya peka dengan situasi semasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved