Kelantan bina makmal REE, sasar bertaraf antarabangsa

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 11:29 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kelantan bina makmal REE, sasar bertaraf antarabangsa

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyasarkan pembinaan Makmal Geokimia Negeri Kelantan (MGNK) bertaraf dunia sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Kelantan sebagai hab industri unsur nadir bumi (REE) yang berdaya saing di rantau Asia.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk memastikan MGNK mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi persijilan piawaian persijilan Pertubuhan Antarabangsa bagi Standardisasi (ISO) agar mampu berdiri setanding dengan makmal terkemuka di luar negara.

Katanya, pengiktirafan itu penting dalam memastikan makmal tersebut mempunyai standard dan keupayaan yang diyakini bagi menjalankan analisis sampel mineral, khususnya unsur nadir bumi.

“Ketika ini makmal berkenaan berada dalam proses akhir mendapatkan pensijilan piawaian ISO pada 2026 atau paling lewat pada pertengahan tahun depan dengan usaha itu digerakkan secara berfokus oleh pasukan khas di bawah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.

“Pasukan berkenaan dianggotai 15 tenaga kerja tempatan dan makmal itu kini berdepan permintaan tinggi sehingga petugasnya boleh dikatakan ‘tidak menang tangan’ menerima sampel untuk dianalisis,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (Kuala Balah) semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, standard dan keupayaan MGNK sebenarnya telah menerima pengiktirafan awal menerusi siri lawatan rasmi delegasi luar dari beberapa kedutaan antarabangsa seperti  Jepun,  Perancis serta wakil dari Amerika Syarikat.

Katanya, sasaran itu diberi keutamaan kerana aktiviti perlombongan REE di Kelantan masih belum dilaksanakan dan kini berada pada peringkat eksplorasi bagi mengenal pasti kawasan yang mempunyai deposit ekonomi.

“Kita (kerajaan negeri) melihat REE sebagai industri masa hadapan yang berpotensi memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi Kelantan.

“Memang orang kata REE ini adalah masa depan. Kita memang melihat potensi REE ini kepada pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan dan juga untuk manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Mohamed Fadzli berkata, peranan makmal itu bukan sekadar menyediakan perkhidmatan analisis, malah merangkumi sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengesahan data mineral, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta membantu industri dalam aktiviti eksplorasi.

Katanya, usaha memperkukuh makmal itu selari dengan perkembangan industri REE yang semakin diberi perhatian termasuk menunggu garis panduan berkaitan daripada Kerajaan Persekutuan.

“REE ini adalah masa hadapan dan kita memerlukan lagi orang-orang profesional dan berkemahiran tinggi dalam bidang ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

The post Kelantan bina makmal REE, sasar bertaraf antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved