Kelantan dijangka bentang pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah April ini

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Asri

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan dijangka membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung April ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, draf pindaan sudah berada di peringkat akhir dan proses penelitian melibatkan pihak berautoriti sedang dijalankan.

"Ia melibatkan Jabatan Mufti, Jemaah Ulama, Majlis Agama Islam, panel penggubal serta pakar perundangan. Tahun lepas sebenarnya banyak perkara sudah siap, cuma kita rasa ada beberapa perkara yang perlu penambahbaikan.

"Sebab itu kita tangguhkan dahulu supaya dapat hasilkan yang terbaik bagi memastikan pindaan yang dilakukan benar-benar teliti dan menyeluruh," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersama Media di sini pada Ahad.

Beliau berkata, selepas penelitian selesai, draf pindaan berkenaan akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

Menurutnya, sekiranya tiada perubahan, pindaan enakmen itu akan dibawa ke persidangan DUN untuk dibentangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu yakin pindaan enakmen tersebut akan mendapat sokongan semua pihak termasuk wakil rakyat pembangkang.

"Kita melihat dalam isu pindaan ini, semua pihak, termasuk pembangkang tidak terkecuali dan insya-ALLAH akan memberi sokongan," katanya.