
KUALA LUMPUR 18 Dis – Kelantan dijangka menerima peruntukan sebanyak RM460.7 juta bagi tahun 2026 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan Saizol Ismail berkata jumlah itu meningkat sekitar RM163.8 juta berbanding peruntukan pada tahun 2025.
“Peruntukan ini menjadikan Kelantan negeri ke-4 terbesar menerima dana pembangunan luar bandar, dengan 29 projek baru dan 101 projek sambungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) kali ke-2 yang diadakan di Perak.
Beliau berkata mesyuarat itu memberi fokus kepada penyelarasan pembangunan luar bandar termasuk aspek infrastruktur dan pembangunan modal insan.
Antara fokus utama bagi Kelantan adalah bekalan air luar bandar dan jalan perhubungan desa yang menjadi pemangkin hubungan antara daerah, selain pemantauan projek-projek kementerian yang tergendala di negeri itu.
Keutamaan negeri juga dijangka dimasukkan dalam Rancangan Pemulihan 2 (RP2) dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW serta semua pegawai di peringkat Kementerian atas segala pertimbangan dan kerjasama yang dijalin bersama kerajaan negeri Kelantan.- DagangNews.com

