Kelantan lulus RUU Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024

LocalPolitics
26 Nov 2024 • 1:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hilmi ketika membentangkan RUU Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 pada Selasa.

KOTA BHARU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 bagi kawalan dan pelesenan.

RUU itu diluluskan Speaker DUN, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas dibacakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah pada kali kedua.

Hilmi ketika membentangkan RUU itu berkata, penting bagi kerajaan negeri menggubal dan menguatkuasakan satu undang-undang negeri yang berteraskan syariat Islam khusus bagi mengawal pelesenan hiburan dan tempat-tempat hiburan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

"Enakmen baharu itu mengambil kira perubahan masa, memastikan tiada kelompangan undang-undang dan menjamin pelaksanaan yang efektif.

"Tidak dapat kita nafikan hiburan merupakan perkara yang disenangi oleh naluri fitrah manusia memandangkan ia adalah jalinan antara keindahan bahasa, keunikan budaya dan kecantikan seni yang mampu melahirkan emosi positif di dalam diri kita," katanya ketika persidangan DUN Kelantan pada Selasa.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri bertanggungjawab melestarikan warisan seni dan budaya masyarakat tempatan.

"Kita turut mengambil kira kelangsungan hidup penggiat industri seni tempatan dengan memastikan aktiviti hiburan berlandaskan Islam boleh dilaksanakan di Kelantan," katanya.

Jelas beliau, ketika berhibur juga, nilai-nilai Islam dalam hiburan tidak ditinggalkan sejajar dengan dasar kerajaan negeri iaitu membangun bersama Islam.