Kelantan disenaraikan sebagai negeri kedua paling selamat di Malaysia berdasarkan laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dengan kadar jenayah hanya 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, angka itu meletakkan Kelantan di belakang Sabah yang mencatatkan kadar jenayah terendah iaitu 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
“Indeks jenayah ini melibatkan kes seperti bunuh, rompak, rogol, mencuri dan kekerasan. Data rasmi ini membuktikan Kelantan adalah antara negeri paling selamat di negara ini,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pencapaian ini tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia berdasarkan kajian profesional dan sah daripada agensi kerajaan.
“Kita patut bangga, bukan pertikai. Statistik ini adalah bukti suasana aman yang masih wujud di negeri ini,” katanya menjawab soalan tambahan daripada ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.
Namun, katanya, masalah sosial lain seperti penyalahgunaan dadah masih menjadi cabaran besar di Kelantan dan kerajaan negeri komited mengambil langkah serius mengatasinya.
Antara usaha yang dijalankan termasuklah penubuhan unit dakwah halaqah, penggubalan enakmen kawalan hiburan, penutupan kedai judi serta kawalan penjualan arak.
Selain itu, pentadbiran negeri turut mengambil langkah membetulkan budaya rakyat yang bertentangan dengan nilai Islam, termasuk memperhalusi semula persembahan tradisional seperti Makyong dan wayang kulit.
The post Kelantan negeri kedua paling selamat selepas Sabah appeared first on The Reporter.



