Kelantan perlu dana tambahan selenggara saliran hadapi tengkujuh

LocalEnvironment
3 Nov 2026 • 12:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan perlu dana tambahan selenggara saliran hadapi tengkujuh
Izani menjawab soalan pada sidang DUN Kelantan di Kota Darulnaim pada Selasa.

KOTA BHARU – Kelantan memerlukan peruntukan tambahan bagi kerja penyelenggaraan sistem saliran di negeri itu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, permohonan jabatan berkaitan untuk meningkatkan peruntukan berkenaan bagaimanapun belum diluluskan berikutan kekangan kewangan.

“Bajet ini hanya sekadar membolehkan kami menyelenggara parit-parit atau saliran-saliran sedia ada.

“Pihak jabatan sentiasa memohon untuk meningkatkan bajet, namun tidak diluluskan akibat keterbatasan kewangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Nor Asilah Mohamed Zin (Limbongan-Pas) pada persidangan Belanjawan DUN di Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Izani berkata, sebanyak RM23.27 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan sistem saliran dan sungai di seluruh Kelantan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, jumlah itu merangkumi RM18 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan 174 kerja menerusi Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir (RMKE-13), manakala RM5.27 juta daripada kerajaan negeri bagi 82 kerja di bawah peruntukan pembangunan negeri (P17).

Beliau berkata, hampir semua kerja penyelenggaraan parit dan sistem saliran yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini hampir selesai dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya sebelum musim tengkujuh.

“Kerja berkenaan meliputi penyelenggaraan alur air dan sistem perparitan bagi memastikan saliran berada dalam keadaan baik menjelang musim hujan.

“Kesemua kerja ini hampir selesai dan diharap sebelum banjir,” ujar beliau.

Selain JPS, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memainkan peranan menyelenggara rangkaian parit di bawah seliaan masing-masing bagi memastikan aliran air dapat disalurkan ke sungai dengan lancar.

Izani berkata, PBT melaksanakan kerja pembersihan secara gotong-royong dan akan meneruskan usaha bagi memastikan rangkaian parit di kawasan pentadbiran masing-masing berfungsi dengan baik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved