PASIR MAS – Kerajaan Kelantan memerlukan kira-kira RM1 bilion bagi menggantikan lebih 1,000 kilometer (km) paip lama di seluruh negeri dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, ketika ini terdapat kira-kira 4,000 km paip uzur di Kelantan yang perlu diganti secara berperingkat.
Menurut beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika ini hanya meluluskan penggantian sekitar 150 km paip setahun, sekali gus menyebabkan proses berkenaan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan sepenuhnya.
"Kalau ikut kiraan mudah, 4,000 km dibahagi 150 km setahun, ia memang akan ambil masa bertahun-tahun lagi untuk disiapkan.
"Projek penggantian paip ini sebenarnya sudah bermula sejak 2016 dan selepas tempoh pandemik Covid-19, kita lihat banyak kemajuan dapat dilakukan," katanya semasa sidang akhbar kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek LRA Kelar 2 di sini pada Khamis.
Ujar beliau, bagi pelan perniagaan SPAN 2027 hingga 2031, kerajaan negeri memohon kelulusan bagi menggantikan kira-kira 1,035 km paip di seluruh Kelantan.
Tambahnya, kos penggantian paip sangat tinggi iaitu dianggarkan sekitar RM1 juta bagi setiap satu kilometer.
"Maknanya kalau 1,000 km, kosnya sudah mencecah RM1 bilion dan pembiayaan itu adalah pinjaman daripada SPAN yang perlu dibayar semula oleh Air Kelantan Sdn Bhd.
"Sebab itu kita berharap kadar penggantian paip dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 200 km setahun supaya masalah ini dapat diselesaikan lebih cepat," katanya.
Dalam pada itu, Dr Izani berkata, kerajaan Kelantan meletakkan sasaran isu air di negeri ini akan selesai menjelang tahun 2030 apabila semua projek loji rawatan air (LRA) dapat disiapkan sepenuhnya.
Menurutnya, apabila semua projek LRA siap, kapasiti pengeluaran air di Kelantan dijangka meningkat kepada sekitar 830 hingga 850 juta liter sehari dan mampu menampung keperluan seluruh penduduk negeri ini.
"Ketika ini terdapat 43 loji rawatan air yang sedang beroperasi dan lebih 10 lagi loji termasuk sistem tubewell serta sumber air permukaan sungai sedang dibina atau dalam perancangan, selain membina LRA baharu di seluruh negeri bagi memastikan kapasiti pengeluaran air dapat memenuhi keperluan rakyat," katanya.
