
KUALA LUMPUR 10 Dis – Belanjawan 2026 perlu mengambil kira keperluan mendesak Negeri Kelantan termasuk pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan sosial kerana peruntukan belanjawan untuk Kelantan dilihat tidak agresif dan kurang sepadan dengan keperluan asas negeri itu.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff turut menyuarakan kebimbangannya mengenai bekalan air bersih, sanitasi dan projek tebatan banjir yang agak kritikal di negeri Kelantan selain menekankan pentingnya penilaian kos jangka panjang dan kesan psikologi terhadap rakyat.
“Saya melihat Belanjawan ini seolah-olah hanya membayar ‘hutang pembangunan’ yang kecil. Kritikan utama saya tertumpu kepada isu asas seperti bekalan air bersih dan sanitasi di mana saya mendesak agar peruntukan diletakkan di bawah dana khas bersepadu dengan pengawasan ketat, dan bukannya bergantung kepada pelbagai agensi yang menyebabkan kelewatan birokrasi.
“Selain itu, mengenai ancaman banjir, saya khuatir jumlah peruntukan untuk Projek Tebatan Banjir Sungai Golok tidak mengambil kira peningkatan kos bahan binaan. Saya menegaskan kita memerlukan peruntukan yang bersifat pencegahan radikal dan bukan sekadar pemulihan sementara , serta penilaian kos ekonomi jangka panjang dan kesan psikologi yang ditanggung oleh rakyat.
“Untuk memacu Kelantan, saya percaya kita mesti memperkasakan fungsi ekonominya sebagai Gerbang Timur ke Thailand dan rantau Indochina. Saya mengkritik kekurangan tumpuan dalam pembangunan infrastruktur perdagangan di pintu-pintu sempadan utama seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa aset strategik pelabuhan Tok Bali Supply Base (TBSB) perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan peruntukan permulaan oleh kerajaan bagi menaik taraf TBSB sebagai pelabuhan nasional dan mengemukakan pelan pembangunan pelabuhan timur Semenanjung secara terperinci kerana lokasinya yang strategik di laluan perdagangan Laut China Selatan.
Dalam isu sosial dan pendidikan, beliau menekankan perlunya peningkatan peruntukan bagi pembangunan vokasional dan latihan teknikal (TVET) di Kelantan, termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan TVET serta penambahan pakar perubatan dan kemudahan kesihatan di negeri itu.
Dr. Wan Martina juga mencadangkan pembangunan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di daerah berisiko banjir, bagi menggantikan sistem PPS sedia ada yang bersifat reaktif, serta menekankan kepentingan reformasi institusi dan perundangan termasuk pemulihan kuasa negeri dalam undang-undang Syariah.
“Akhir sekali, saya menyeru agar Kerajaan Persekutuan segera mempertimbangkan penubuhan Pejabat Bajet Parlimen (PBO), sebuah institusi bebas, profesional dan berkecuali ,dan meneliti dengan serius cadangan pemansuhan jawatan Setiausaha Politik (Setpol), yang saya anggap sebagai struktur yang kabur dari sudut akauntabiliti dan sering membuka peluang kepada penyalahgunaan kuasa pengaruh.
“Saya berharap Dewan Negara dapat bersama memastikan ruang kuasa antara Persekutuan dan Negeri terus terpelihara, dan wang rakyat diurus dengan Amanah,” katanya.- DagangNews.com


