
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mempertimbang cadangan mewujudkan satu garis panduan bagi mengekang rakyat negeri ini daripada menyewakan tanah dan rumah kepada warga asing termasuk pelarian Rohingya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi menggariskan kaedah-kaedah berkaitan.
“Kita boleh menimbang mengadakan garis panduan itu dan kita akan bincang dengan PTG kaedah untuk mengekang rakyat kita yang disebut sebagai ‘Si Buang’ ini daripada menyewakan tanah dan rumah mereka kepada warga asing termasuk Rohingya.
“Apa yang utama adalah rakyat kena ada kesedaran dan jangan beri sewa harta mereka, bukan hanya kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga warga asing dengan izin,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu berkata, keharmonian masyarakat akan lebih terjaga sekiranya langkah tidak menyewakan tanah atau rumah diambil berikutan ia mampu mengekang kewujudan koloni pendatang asing.
“Kalau kita tidak memberi sewa, insya Allah kita dapat jaga keharmonian. Sebab kita tidak mahu wujudnya kelompok atau koloni (warga asing). Bila adanya koloni, ia akan mengganggu masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN
The post Kelantan pertimbang wujud garis panduan kekang rakyat sewa tanah, rumah kepada warga asing appeared first on Utusan Malaysia.





