
KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini diberitahu sebanyak 7,078 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di negeri itu bermula Januari hingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan kes sebanyak 27 kali ganda berbanding tempoh yang sama pada 2021.
Beliau berkata bagaimanapun, kes HFMD mula menunjukkan trend menurun apabila kes yang dilaporkan pada minggu epid 28 (39 kes) menurun sebanyak 58.5 peratus berbanding minggu epid 27 (94 kes).
“Daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan pada tahun ini, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 68 peratus. Secara keseluruhan 90.3 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah.
“Sebahagian besar wabak yang dilaporkan adalah melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak. Bagaimanapun, tiada kematian direkodkan membabitkan wabak HFMD di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rusli Abdullah (PAS-Wakaf Bharu) mengenai perkembangan terkini penyakit HFMD yang sedang menular dalam kalangan kanak-kanak pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Izani berkata antara inisiatif daripada kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bagi membendung penyakit HFMD adalah dengan menutup pusat asuhan dan taska dalam tempoh dua minggu sekiranya terdapat kes di pusat berkenaan.
“Apa yang kita lihat tindakan segera ini berkesan sekali gus dapat menyekat kes daripada terus meningkat secara ketara. Malah, pemilik-pemilik premis juga sering kali dinasihatkan untuk kerap melakukan sanitasi di premis.
“Seperti sedia maklum, penyakit HFMD setakat ini tiada vaksin dan masyarakat hanya perlu peka terutamanya dari segi kebersihan untuk mencegah daripada terkena penyakit ini memandangkan ia boleh dijangkiti melalui titisan air liur, batuk dan sentuhan, justeru kita perlu mengamalkan untuk menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin,“ katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini Covid-19 di negeri ini, Dr Izani berkata sehingga 18 Jun lepas sebanyak 78,727 kes direkodkan namun kini ia menunjukkan penurunan ketara.
“Bermula 16 April lepas hingga Jun, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini adalah kurang daripada 50 kes sehari sekali gus menunjukkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan sebelum ini adalah berjaya,” katanya.-Bernama

