Kelantan rekod dua kes kemalangan kereta api - KTMB

6 Jul 2023 • 12:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota polis berada di lokasi kejadian yang mengorbankan nyawa seorang lelaki pada pagi Khamis.

KOTA BHARU - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan Kelantan merekodkan dua kes kemalangan melibatkan kereta api sejak Januari hingga Khamis.

Jurucakap KTMB berkata, kejadian pertama melibatkan seorang lelaki di Palekbang, Tumpat berlaku pada 19 Jun lalu.

"Pada hari ini (Khamis) seorang lelaki berusia 23 tahun menjadi mangsa kedua dalam kejadian di Kampung Tanjong, Pasir Mas.

"Mengikut maklumat, hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mangsa dipercayai dilanggar kereta api pada awal pagi," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, ia melibatkan perjalanan kereta api 'shuttle DMU' dari Tumpat ke Gua Musang.

Ujarnya, mangsa dipercayai memasuki ke kawasan larangan untuk orang awam.

Jurucakap KTMB memberitahu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan yang dilarang di sepanjang rel kereta api kerana ia membahayakan nyawa.