Kelantan roboh binaan tanpa kebenaran di tanah kerajaan, dihuni etnik Rohingya

LocalPolitics
22 Jul 2026 • 8:48 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Operasi perobohan binaan tanpa kebenaran di tanah kerajaan Pechong, Tanah Merah oleh pihak berkuasa Kelantan.

Kerajaan Kelantan merobohkan sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang didiami secara haram oleh etnik Rohingya di atas tanah milik kerajaan di Pechong, Mukim Bandar Tanah Merah, dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada Selasa.

Operasi bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu diketuai Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM), membabitkan seramai 108 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa mengesan sebuah premis dan tiga rumah kediaman dibina tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan.

Menurutnya, premis dan rumah berkenaan kemudiannya disewakan kepada etnik Rohingya dengan bayaran tertentu.

“Tindakan ini dibuat bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram selain menangani isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah serta mengelakkan aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan berkenaan,” katanya.

Hilmi berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh, memajukan atau menyewakan tanah rizab serta tanah kerajaan secara haram kepada warga asing.

Baca juga:

Dalam pada itu, Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM) dalam kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan selepas pengesanan beberapa struktur dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan yang antaranya dijadikan penempatan dan disewakan kepada individu daripada etnik Rohingya.

Menurut kenyataan itu, notis serta arahan pengosongan telah dikeluarkan terlebih dahulu mengikut peruntukan undang-undang sebelum operasi perobohan dijalankan.

Operasi berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 bagi memastikan tanah kerajaan diurus serta dilindungi daripada sebarang bentuk pencerobohan, penggunaan atau pembangunan tanpa kebenaran.

Sementara itu, PTJTM memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan tanah kerajaan dipelihara daripada sebarang pencerobohan dan penggunaan tanpa kebenaran selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sumber: Buletin TV3, PTJTM

The post Kelantan roboh binaan tanpa kebenaran di tanah kerajaan, dihuni etnik Rohingya appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved