
PETALING JAYA: Kelawar bakal dijadikan bioindikator bagi membantu penyelidik menilai tahap biodiversiti dalam landskap sawit menerusi kajian baharu dibiayai Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).
Kajian selama dua tahun dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu akan menilai perubahan kepelbagaian dan aktiviti hidupan liar di kawasan hutan, sempadan hutan-ladang serta tanaman sawit yang terletak lebih jauh dari hutan.
MPOGCF berkata, kelawar dipilih kerana haiwan itu sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran termasuk struktur habitat, ketersediaan sumber makanan dan tahap gangguan.
“Corak kehadiran, kepelbagaian spesies dan aktiviti kelawar boleh memberikan petunjuk mengenai keadaan ekologi sesuatu landskap.
“Kajian ini bukan sekadar merekodkan spesies kelawar yang terdapat di kawasan berkenaan, sebaliknya bertujuan menghasilkan bukti saintifik bagi membantu industri memahami bagaimana pengurusan landskap sawit boleh menyokong biodiversiti dan fungsi habitat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kajian bertajuk ‘Assessing Multiple Functional Habitats in Forest Patch–Oil Palm Interfaces Using Bat Sampling in Wilmar Plantation’ itu akan dilaksanakan di enam ladang sawit milik PPB Oil Palms Berhad (Wilmar) di Miri, Sarawak dan dijangka selesai pada akhir 2027.
Menurut yayasan itu, dapatan kajian diharap dapat mengenal pasti perbezaan nilai biodiversiti antara hutan, kawasan peralihan hutan-ladang dan tanaman sawit.
“MPOGCF menyediakan pembiayaan sebanyak RM190,000 bagi kajian yang diketuai Pengarah Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC) Unimas, Prof. Ts. Dr. Mohd. Azlan Jayasilan Abdul Gulam Azad.
“Dapatan kajian itu dapat membantu pemain industri membuat keputusan pemuliharaan berasaskan bukti, khususnya di kawasan pertemuan antara habitat hutan dengan landskap tanaman sawit.
“MPOGCF yakin dapatan kajian ini akan menyediakan asas saintifik yang lebih kukuh kepada pemain industri sawit Malaysia untuk merancang dan meningkatkan usaha pemuliharaan biodiversiti,” katanya. – UTUSAN
The post Kelawar jadi pengukur biodiversiti ladang sawit appeared first on Utusan Malaysia.
