
KUALA LUMPUR - Kelemahan sistematik dalam pengurusan kewangan awam melibatkan perolehan, pelaksanaan projek, pengurusan hasil dan prestasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) menjejaskan dana awam.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata, kelemahan itu bukan sekadar isu pentadbiran tetapi juga mempunyai implikasi yang besar terhadap komitmen fiskal jangka panjang kerajaan.
“Yang paling penting ialah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menguruskan setiap sen wang awam secara berhemah dan telus.
“PAC mendapati corak ketidakpatuhan dan ketidakcekapan yang berulang, membangkitkan kebimbangan serius mengenai risiko ketirisan, pembaziran, dan beban kewangan yang sepatutnya tidak perlu ditanggung oleh rakyat.
“PAC mengenalpasti kelemahan-kelemahan sistemik yang membimbangkan dan berpotensi mencetuskan risiko fiskal besar serta menjejaskan keyakinan rakyat,’’ katanya pada sidang media hari ini.
Mas Ermieyati berkata dapatan itu diperoleh menerusi 157 prosiding yang dijalankan dan 17 laporan yang dibentangkan oleh jawatankuasa tersebut sepanjang 2025.
Menurut Mas Ermieyati, kelemahan sistemik lain juga membimbangkan, termasuk penggunaan sistem dan perkhidmatan awam tanpa kontrak rasmi, yang meningkatkan risiko ketirisan dana dan mengurangkan ketelusan dalam proses membuat keputusan kerajaan.
“PAC juga mendapati projek berimpak tinggi diluluskan tanpa analisis kos-faedah yang komprehensif, meletakkan beban kewangan yang tidak wajar kepada kerajaan dan pengguna.
“Terdapat juga kelewatan dan ketidakefisienan dalam pelaksanaan projek kritikal, menyebabkan pembaziran dana awam dan kegagalan penyampaian perkhidmatan, selain tunggakan Akaun Belum Terima yang besar, yang menjejaskan kutipan hasil negara,” katanya.
PAC turut mengemukakan lima syor utama untuk menangani kelemahan sistemik tersebut, termasuk memperkukuh pematuhan proses perolehan kerajaan, mewajibkan analisis kos-faedah yang menyeluruh bagi projek besar, meningkatkan pemantauan projek berisiko tinggi, memperbaiki pengurusan dan penguatkuasaan hasil negara, serta melaksanakan kajian menyeluruh terhadap GLC dan GLIC bagi meningkatkan pulangan pelaburan awam. - 4 Disember, 2025
The post Kelemahan dalam GLC, GLIC jejas keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan urus setiap sen wang awam: PAC appeared first on Scoop.

