KOTA KINABALU - Isu Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang pernah dibangkitkan Sinar Harian menerusi laporan bersiri 'Jalan derita ke Sipitang' tahun lalu masih menjadi perhatian apabila perkembangan projek berkenaan sebelum ini dilihat agak perlahan.
Disebabkan ia masih berlarutan sehingga ke hari ini, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah tidak pernah berhenti membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat setiap kali sidang berlangsung.
Menurutnya, beliau akan terus mengangkat isu berkaitan pelaksanaan projek LPB Sabah sehingga ia benar-benar disiapkan sepenuhnya.
Katanya, perkara itu penting memandangkan pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan di Sabah masih jauh ketinggalan berbanding di Sarawak.
"Oleh itu, isu ini saya akan dibangkitkan sekali lagi dalam perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan.
"Projek LPB Sabah penting untuk disiapkan segera kerana ia menjadi nadi perhubungan utama yang sekali gus pemangkin pembangunan ekonomi negeri," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Iftar Ramadan bersama media di sini pada Khamis.
Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata, isu projek LPB sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen kerana beliau mahu menyampaikan suara rakyat Sabah yang terkesan dengan kelewatan projek berkenaan.
"Selepas beberapa kali saya bangkitkan di Parlimen, memang ada kemajuan dari segi pelaksanaan projek ini.
"Justeru kita akan terus memantau perkembangannya, terutama di kawasan Parlimen Sipitang melibatkan jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort," katanya


