Kelewatan Projek LCS Jejas Perancangan TLDM – Panglima Tentera Laut

3 Oct 2022 • 9:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Meskipun berdepan dengan cabaran dan ancaman itu, TLDM tetap fokus dengan misinya, iaitu mempertahan kedaulatan serta melindungi kepentingan maritim negara - Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang usang dengan bajet penyelenggaraan sedia ada sentiasa terhad bagi mempertahankan kedaulatan negara, menimbulkan kerisauan pihak pasukan pertahanan itu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, TLDM sebelum ini pernah memiliki 16 buah kapal perang pelbagai saiz.

Katanya, bilangan kapal perang itu berkurangan dengan signifikan, apabila majoritinya hilang keupayaan kombatan akibat faktor keusangan peralatan dan sistem persenjataan.

“Penggantian kepada kapal-kapal ini dirancang melalui perolehan kapal tempur pesisir (LCS), namun kelewatan projek LCS ini sudah menjejaskan perancangan TLDM...keperluan perolehan kapal-kapal kombatan (perang) tambahan perlu turut diberi perhatian serius oleh kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Reza menegaskan, meskipun berdepan dengan cabaran dan ancaman itu, TLDM tetap fokus dengan misinya, iaitu mempertahan kedaulatan serta melindungi kepentingan maritim negara.

Selain itu, beliau berkata, pertahanan negara perlu diperkukuh bagi menghadapi situasi keselamatan dunia yang dinamik dan sentiasa berubah, dalam masa singkat serta sukar diramal, seperti berlaku di beberapa negara luar, baru-baru ini.

Katanya, situasi tersebut dikenali sebagai VUCA (pergolakan, ketidakpastian, kompleks, kekaburan/kesamaran).

“Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berhadapan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.

“Aktiviti itu boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim, sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara, (selain) menuntut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), memberi tindak balas sewajarnya bagi mengatasi ancaman tersebut,” katanya.

Jelasnya, sektor pertahanan adalah ‘insurans’ dan kerajaan harus melakukan pelaburan pertahanan supaya apabila berlaku perkara tidak diingini, negara mampu bertahan daripada ancaman serta impak kepada risiko keselamatan negara dan rakyat adalah minimum. - Bernama