Kelington diunjur catat pertumbuhan dua digit pada suku pertama didorong permintaan tinggi dalam segmen UHP

Business & Finance
21 May 2024 • 12:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelington diunjur catat pertumbuhan dua digit pada suku pertama didorong permintaan tinggi dalam segmen UHP

azan

21/05/2024 - 12:07

KUALA LUMPUR 21 Mei - RHB Investment mengunjurkan Kelington Group Bhd mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi suku pertama 2024 didorong oleh permintaan tinggi dalam segmen ketulenan ultra tinggi (UHP).

Katanya, pertumbuhan itu disokong oleh kemajuan yang teguh dalam segmen UHP dengan beberapa kesan bermusim bermula daripada Tahun Baharu Cina yang menyumbang kepada asas yang lebih tinggi berbanding suku keempat 2023.

Firma penyelidikan itu berkata, margin untung kasar keseluruhan dijangka kekal pada dua digit pertengahan didorong sumbangan besar daripada projek UHP dan pada suku keempat tahun lalu, ia menyumbang 74% daripada hasil kumpulan dan pada suku keempat 2022, ia menyumbang sebanyak 72% daripada hasil keseluruhan.

"Selain itu, trajektori pertumbuhan diperkukuh lagi dengan pengembangan perniagaan gas industri yang menyumbang hasil lebih tinggi, dengan tapak karbon dioksida cecair (LCO2) kedua mampu menghasilkan 70,000 tan apabila mula beroperasi.

"Secara keseluruhan, faktor ini secara kolektif meletakkan kumpulan untuk mencatatkan pertumbuhan kukuh berterusan pada suku pertama 2024, disokong oleh kekuatan berterusan projek UHP dan segmen gas perindustrian yang berkembang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan tarif import oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import semikonduktor China bermula 2025 adalah lanjutan daripada dasar pentadbiran Terdahulu dan ia dilihat mengukuhkan lagi daya tarikan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di bawah strategi China Plus One (C+1).

Ia seharusnya menjadi petanda baik untuk Kelington sebagai pakar penyambung dan pentauliahan pilihan untuk kebanyakan faundri wafer Singapura dan faundri sedia ada di Malaysia.

"Pengembangan kumpulan itu adalah tepat pada masanya ke Jerman juga dijangka mendapat daya tarikan di tengah-tengah ketegangan geopolitik AS-China," katanya.

RHB Investment percaya bahawa kitaran menurun selama dua tahun dalam industri semikonduktor kini sudah berada di penghujung.

Keadaan itu seharusnya meningkatkan entimen saham teknologi dengan pendedahan bahagian hadapan kepada rantaian nilai (fabrikasi wafer).

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.35 sesaham," katanya. - DagangNews.com