amree03/06/2026 - 18:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — Kelington Group Berhad terus memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor teknologi rendah karbon menerusi kerjasama strategik dengan PETRONAS CCS Solutions Sdn Bhd (PCCSS).
Usaha itu dimeterai anak syarikatnya, Ace Gases Marketing Sdn Bhd, melalui adendum memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluas kerjasama inisiatif penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
Skop itu melibatkan pembangunan Terminal Satelit CO2, sebagai hab perantaraan untuk menerima, menyimpan sementara dan memindahkan karbon dioksida cecair sebelum digunakan atau disimpan kekal.
"Kajian akan menilai aspek kebolehlaksanaan pembangunan terminal termasuk reka bentuk kemudahan, pemindahan, integrasi dengan hab CCS pada masa depan serta model komersial bersesuaian," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Lim Seng Chuan berkata, langkah itu mencerminkan kemajuan kerjasama dua pihak membangunkan rumusan pengurusan karbon yang praktikal dan boleh diperluaskan.
Penambahan kajian Terminal Satelit CO2 ujarnya, memperluaskan skop penilaian kebolehlaksanaan dan mengukuhkan keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekosistem CCS negara.
Adendum itu turut melanjutkan tempoh kuat kuasa MoU kepada dua tahun bermula 3 Julai 2025, serta memberi masa kepada dua pihak menjalankan penilaian teknikal dan komersial secara menyeluruh.
"Kelington berharap kerjasama berkenaan selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang menyasarkan neutraliti karbon menjelang 2050," jelas beliau dalam kenyataan.
Selain CCS, kumpulan itu turut giat meneroka peluang dalam bidang hidrogen hijau dan rumusan kejuruteraan rendah karbon sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya.
Menurutnya, kerjasama ini meletakkan Kelington dalam kedudukan yang lebih baik untuk membantu industri memenuhi keperluan pematuhan alam sekitar apabila cukai karbon diperkenalkan kelak.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan memaklumkan yang adendum tersebut tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan itu pada masa sekarang.
"Namun Kelington kekal optimis terhadap prospek kerjasama dengan PCCSS berikutan peningkatan permintaan terhadap rumusan rendah karbon dalam kalangan sektor industri. - DagangNews.com

