Keluar beli buku sekolah anak, lelaki maut dirempuh pemandu mabuk. Isteri hilang tempat bergantung. 'Penjara tak cukup, nyawa sudah hilang'

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 8:19 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available
Foto:Bernama, video tular

TULAR di laman sosial video memaparkan penunggang motosikal dirempuh kereta dipandu pemandu mabuk menimbulkan amarah warganet.

Mangsa, Amirul Hafiz Omar dikatakan  maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah, di Jalan Raya Barat di Klang, pagi Ahad.

Lebih memilukan, menurut jiran, SinarPlus dimaklumkan Allahyarham keluar dari rumah untuk membeli buku sekolah anaknya yang hilang.

Isteri arwah, Nor Nadia, sebak dan pilu menceritakan pemergian suami tercinta. Bukan sahaja kehilangan tempat bergantung, hatinya remuk memikirkan kesakitan yang ditanggung Allahyarham impak daripada perlanggaran tersebut.

Dirempuh dengan laju, Amirul Hafiz melambung dan berpusing serta tercampak ke lorong bertentangan.

"Semalam selepas suami dikebumikan baharu saya tunjukkan video ayahnya itu. Anak cakap "Mama sakitnya papa."

"Sakitnya dan melambung, 10 kali berpusing. Bayangkan suami saya seberat 120 kilogram itu boleh melambung macam tu.

"Tapi Alhamdulillah ada kereta yang sambut dia. Kalau dia jatuh atas jalan, lagi teruk keadaannya," kongsinya.

Dalam pada itu, Nor Nadia turut menceritakan keadaan jenazah Allahyarham.

"Kaki dia patah rasanya. Kata orang yang memandikan, kepalanya ada retak dengan kaki dia terkulai," ujar Nor Nadia dalam sebak.

Dalam pada itu, Nor Nadia berkata dia mahukan hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, hukuman penjara sahaja tidak cukup susulan kecederaan dan kehilangan yang dialami keluarga.

"Penjara tak cukup. Dia sudah 'diambil', dia sudah hilang nyawa.

"Saya sudah hilang tempat bergantung. Dia baru mula dua bulan, saya nak tolong dia. Sekarang saya tiada suami, anak-anak kecil lagi," luahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey memaklumkan kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 11.40 pagi itu.

Hasil siasatan awal, kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

“Pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Akibat pelanggaran tersebut, mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an telah tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi. 

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.

Jit Huey berkata, hasil ujian saringan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dan dadah.

“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, ujarnya.

Sumber: Instagram, Sinar Harian