Keluar Surat Baharu, ‘Drama’  Nadzaruddin Dan Undang Kembali Lagi

LocalPolitics
3 Oct 2026 • 1:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Pertikaian mengenai takhta Negeri Sembilan kembali mencetuskan persoalan besar selepas Tunku Nadzaruddin sekali lagi tampil mendakwa dirinya sebagai pemerintah negeri itu, kali ini dengan membawa tuntutannya terus ke meja Peguam Negara.

Dalam sepucuk surat bertarikh 30 September yang kini tular, Nadzaruddin meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, campur tangan berhubung sebuah Warta Kerajaan Negeri dikeluarkan atas nama Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang kekal diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan oleh institusi negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau mendakwa Tuanku Muhriz telah terhenti daripada memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar pada 19 April, selain mendakwa dirinya telah diproklamasi sebagai pemerintah Negeri Sembilan ke-12.

Lebih jauh, Nadzaruddin meminta kedudukannya “diiktiraf” dan pihak berkuasa Persekutuan dinasihatkan agar tidak melaksanakan Warta Kerajaan Negeri bertarikh 24 September yang membatalkan pelantikan 10 anggota Exco negeri.

Namun, tuntutan terbaharu itu hadir ketika pendirian pihak berkuasa berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz telah beberapa kali dinyatakan dengan jelas.

Image from: Keluar Surat Baharu, ‘Drama’  Nadzaruddin Dan Undang Kembali Lagi

Pejabat Peguam Negara sebelum ini menegaskan, Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan jawatan Yang di-Pertuan Besar sebagai kosong.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pula dilaporkan menolak untuk mewartakan atau mengiktiraf proklamasi April yang bertujuan menggugurkan Tuanku Muhriz, dengan alasan tindakan tersebut bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan.

Lebih penting, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) iaitu institusi tertinggi Negeri Sembilan dalam hal adat dan tradisi, kekal dengan pendirian bahawa Tuanku Muhriz ialah Yang di-Pertuan Besar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan secara terbuka bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai pemerintah Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan terbaharu, Peguam Negara pula menyatakan pembatalan 10 pelantikan Exco adalah sah di bawah Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Dengan rangka pendirian rasmi itu sudah terbentuk, kemunculan semula tuntutan Nadzaruddin bukan sekadar menghidupkan semula pertikaian lama tetapi lebih dari itu, ia menimbulkan persoalan lebih besar mengenai kesan tuntutan tersebut terhadap pentadbiran dan autoriti institusi negeri.

Nadzaruddin bagaimanapun tidak cukup dengan hanya meminta kedudukannya diiktiraf.

Dalam surat sama, beliau meminta supaya semua warta Persekutuan pada masa hadapan yang dikeluarkan atas nama Yang di-Pertuan Besar atau Raja Negeri Sembilan hanya diterbitkan selepas mendapat pengesahan daripadanya dan para Undang negeri.

Image from: Keluar Surat Baharu, ‘Drama’  Nadzaruddin Dan Undang Kembali Lagi

Surat itu ditandatangani oleh Undang Johol bersama tiga bekas Undang serta Tunku Besar Tampin.

Namun, satu persoalan yang sukar diketepikan ialah mengapa sehingga kini, tiada seorang pun daripada bekas Undang berkenaan dilaporkan membawa pertikaian mengenai penyingkiran dan penggantian itu ke mahkamah atau DKU.

Sebaliknya, semua Undang yang sedang memegang jawatan telah menyatakan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Perkembangan itu menjadikan tuntutan terbaharu Nadzaruddin semakin bercanggah dengan pendirian institusi adat Negeri Sembilan sendiri.

Dan di sinilah kemelut tersebut menjadi lebih daripada sekadar pertikaian mengenai siapa yang mendakwa memegang kedudukan tertentu.

Ia kini menyentuh soal siapa mempunyai autoriti untuk menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, siapa berhak bertindak atas nama institusi tersebut dan sejauh mana keputusan kerajaan negeri boleh dicabar.

Kemelut itu juga mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat dalam usaha menggugat kedudukan pemerintah negeri.

Dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan, desakan supaya tindakan diambil terhadap Nadzaruddin dan pihak yang didakwa terlibat dalam usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz dilaporkan semakin meningkat.

Antara dakwaan dilemparkan ialah, usaha menyingkirkan seorang Raja dan desakan agar baginda diturunkan daripada takhta boleh mempunyai implikasi jenayah yang serius.

Peruntukan yang disebut termasuk Seksyen 121B Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Namun, sama ada mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah peruntukan berkenaan adalah persoalan undang-undang yang hanya boleh ditentukan berdasarkan fakta, siasatan dan proses kehakiman sewajarnya.

Persoalan yang kini turut berlegar ialah sama ada tindakan undang-undang akan dikenakan bukan sahaja terhadap anggota Exco yang terbabit, tetapi juga terhadap pihak yang mendakwa mempunyai autoriti untuk menggugurkan Yang di-Pertuan Besar.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini memberikan peringatan mengenai apa yang Baginda sifatkan sebagai “krisis adab” dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Image from: Keluar Surat Baharu, ‘Drama’  Nadzaruddin Dan Undang Kembali Lagi

Bertitah pada Mesyuarat ke-75 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 29 September, Sultan Nazrin mengingatkan, perbezaan pandangan perlu diuruskan dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat, bukannya melalui penghinaan, menjatuhkan maruah atau penyebaran maklumat yang tidak disahkan.

Baginda turut menyeru budaya syura, atau perundingan, diperkukuh dalam menghadapi perbezaan.

Baginda tidak merujuk secara khusus kepada pertikaian Negeri Sembilan, namun peringatan itu hadir ketika kemelut negeri tersebut semakin terbuka kepada umum.

Kesan pertikaian itu juga dikatakan mula dirasai dalam politik negeri.

Sumber dalam UMNO Negeri Sembilan mendakwa, wujud kebimbangan dalam parti bahawa sokongan terhadap UMNO semakin terhakis susulan penglibatan parti itu dalam kemelut yang digambarkan sesetengah pihak sebagai usaha “merampas kuasa”.

Apa yang semakin sukar dinafikan ialah pertikaian mengenai takhta Negeri Sembilan kini telah melangkaui persoalan adat dan institusi.

Ia sudah bersilang dengan pentadbiran kerajaan negeri, kuasa Persekutuan, kemungkinan tindakan undang-undang dan politik kepartian.

Dan dengan surat terbaharu itu, persoalan mengenai siapa yang berkuasa di Negeri Sembilan bukan lagi sekadar bergema di sebalik dinding istana atau dalam ruang institusi adat.

Ia kini berada di atas meja Peguam Negara dan sama-samalah kita nantikan apa kesudahannya. - Getaran, 3 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved