Keluaran rendah antara punca peningkatan harga minyak sawit mentah

15 Jul 2022 • 1:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini menjelaskan bahawa empat faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga minyak sawit mentah telah dikenalpasti.

Antara faktor utama yang telah dikenal pasti ialah pengeluaran minyak sawit mentah yang rendah.

“Harga pasaran minyak sawit sentiasa berubah-ubah berdasarkan kepada faktor asas (fundamental factors) dan sentimen pasaran (market sentiments) semasa.

“Harga minyak sawit telah mula menunjukkan trend peningkatan yang ketara bermula pada pertengahan tahun 2020 dan telah beberapa kali memecahkan rekod harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara pada Januari 2021 hingga Mei 2022. Peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) telah menyebabkan harga produk minyak sawit termasuk minyak masak meningkat dengan ketara di pasaran tempatan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga menyambut baik pengumuman Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai harga minyak masak sawit akan diturunkan secara berperingkat.

Jelas Zuraida, ia berikutan persetujuan persetujuan daripada pihak industri minyak masak sawit untuk menyelaraskan harga keperluan tersebut berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa.

“Sebelum ini, Kementerian telah mengadakan beberapa siri dialog bersama pemain-pemain industri minyak masak sawit untuk mencari penyelesaian menangani isu kenaikan harga barang keperluan ini, tanpa menjejaskan daya saing sektor ini. Pihak industri telah memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan dalam hal ini,“ kata beliau.

Walau bagaimanapun, peningkatan harga minyak masak masih diimbangi kerajaan menerusi subsidi kepada 60,000 tan atau 60,000,000 kilogram minyak masak peket (1kg polibeg) sebulan bagi menampung keperluan pengguna tempatan, terutamanya untuk golongan B40.

“Harga minyak masak peket bersubsidi untuk pengguna tempatan adalah RM2.50 sekilogram, berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM6.00 sekilogram. KPPK yakin dengan kerjasama jentera kerajaan di semua kementerian yang berkaitan, harga minyak masak akan turun secara berperingkat,“ katanya.