Keluarga Bantu Ketika Berkempen, Lonjak Imej Calon Di Mata Pengundi

Politics
12 Nov 2022 • 9:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mukhriz Mahathir bersama Dr Mahathir Mohamad - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Penglibatan ahli keluarga calon dalam pilihan raya dilihat mempunyai kelebihannya tersendiri iaitu pelonjak imej calon bagi mendapatkan sokongan pengundi.

Amalan ini bukan sesuatu yang baharu dan luar biasa, malah ada ketikanya calon turut dibantu keluarga masing-masing untuk berkempen, seperti yang pernah dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir satu ketika dahulu pernah turun berkempen bagi membantu anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bertanding bagi kerusi Parlimen Jerlun di Kedah.

image is not available
Khairy Jamaluddin, Nori Tun Abdullah bersama penduduk Kota Damansara di acara Majlis Dialog Kepimpinan Komuniti Kota Damansara - Gambar Facebook Khairy Jamaluddin

Calon juga sering dilihat diiring oleh ahli keluarga pada sesi ceramah, hari penamaan calon atau aktiviti bertemu pengundi.

Penglibatan keluarga bagaimanapun turut membuka ruang kepada kemungkinan untuk calon terbabit dipandang serong, sekiranya kehadiran mereka membawa bersama persepsi negatif. 

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sememangnya terdapat calon yang menonjolkan keluarga di sisi mereka ketika bertanding pada pilihan raya. 

image is not available
Dr Awang Azman Awang Pawi - Gambar Fail

“Peranan keluarga ini sangat memberi nilai tambah sekiranya sentiasa dikenali dengan imej bersih.

“Jika ada imej kontroversi seperti suka campur tangan, buat kenyataan tidak sepatutnya, tidak sensitif kepada pengundi atau terlibat dengan gaya hidup yang mewah, ia hanya akan memberikan imej buruk kepada calon,” katanya. 

Sehubungan itu, jelas Awang Azman, adalah wajar bagi ahli politik untuk lebih prihatin, sekiranya berhasrat untuk menonjolkan ahli keluarga masing-masing agar kehadiran mereka tidak dianggap sebagai ‘pemusnah karier’.

“Kita tidak mahu kehadiran kaum keluarga di sisi calon ini menjadi punca mereka dijauhi pengundi,” katanya. 

Pendapat senada disuarakan Dr Azmi Hassan yang berpendapat, kehadiran keluarga sememangnya membantu calon kerana ia sedikit sebanyak menyuntik kekuatan pertalian dalam diri mereka.

image is not available
Dr Azmi Hassan - Gambar Fail Bernama

Beliau berkata, keadaan itu lebih menyerlah sekiranya calon berkenaan datang dari keluarga yang memiliki nama besar dalam politik, atau berada di kampung halaman dan dikelilingi sejumlah besar sanak saudara. 

“Dalam hal ini, penglibatan ahli keluarga boleh banyak membantu calon meraih undi kerana rakyat akar umbi amat mementingkan anak tempatan, lebih-lebih lagi jika individu terbabit mempunyai nama di sesuatu tempat. 

“Ia berupaya melonjakkan kewibawaan calon berkenaan, apatah lagi jika ahli keluarga mereka disenangi masyarakat setempat,” katanya. - Getaran, 12 November 2022