Keluarga Jadi Hamba Hutang Lebih 130 Tahun Akhirnya Dibebaskan Pempengaruh AS

World
19 May 2026 • 8:50 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Keluarga Jadi Hamba Hutang Lebih 130 Tahun Akhirnya Dibebaskan Pempengaruh AS

ISLAMABAD – Tindakan seorang pempengaruh dari Amerika Syarikat yang aktif melakukan kerja amal menyentuh hati ramai selepas berjaya membebaskan sebuah keluarga di Pakistan yang hidup sebagai hamba hutang selama lebih satu abad.

Menurut laporan BRIEFLY, Aaron Hutchings yang mengendalikan laman filantropi @whatintheworldfamily bersama pasukannya pergi ke sebuah kilang bata di Pakistan untuk melunaskan sepenuhnya hutang keluarga terbabit.

Difahamkan, beberapa generasi keluarga itu terpaksa bekerja di kilang berkenaan selama lebih 130 tahun hanya untuk membayar hutang yang diwarisi turun-temurun.

Namun begitu, bayaran yang diterima mereka terlalu kecil manakala kadar faedah pula tinggi, menyebabkan hutang tersebut semakin bertambah dan sukar diselesaikan.

‘Perhambaan Moden’ Masih Berlaku

Menerusi video tular di media sosial, seorang wanita dilihat memeluk Hutchings dalam keadaan penuh sebak sebagai tanda penghargaan selepas mereka akhirnya dibebaskan daripada belenggu tersebut.

Beberapa wanita lain yang berada di lokasi turut dilihat tidak dapat menahan emosi menyaksikan detik berkenaan.

Untuk rekod, sistem buruh hutang berlaku apabila individu atau keluarga yang terdesak membuat pinjaman wang sebelum dipaksa bekerja bagi melunaskan hutang tersebut.

Keadaan itu sering digelar sebagai “perhambaan moden” kerana mangsa terpaksa bekerja dalam tempoh yang panjang dengan bayaran sangat rendah.

Lebih menyedihkan, apabila peminjam meninggal dunia, hutang itu akan diwarisi oleh anak-anak sehingga berlanjutan kepada generasi seterusnya.

Di Pakistan, ramai kanak-kanak yang lahir dalam keluarga hamba hutang terpaksa bekerja sejak kecil dan tidak berpeluang mendapatkan pendidikan.

Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira 4.5 juta penduduk di Pakistan masih hidup dalam situasi buruh hutang. – The Malaysian Update

The post Keluarga Jadi Hamba Hutang Lebih 130 Tahun Akhirnya Dibebaskan Pempengaruh AS appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article