KLANG – Hampir dua tahun tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India, keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi bercadang menuntut pampasan RM800,000 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Peguam, M Partiben yang mewakili keluarga mangsa berkata, ia susulan dakwaan berlaku kecuaian dalam aspek penyelenggaraan dan keselamatan sehingga mengorbankan wanita warga India itu.
Katanya, jumlah itu dirujuk berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini yang memerintahkan DBKL membayar ganti rugi lebih RM824,000 dalam kes kematian seorang individu akibat dihempap pokok tumbang.
Menurutnya, pihak keluarga berpandangan terdapat unsur kecuaian dalam insiden berkenaan termasuk kemungkinan melibatkan gangguan utiliti bawah tanah, faktor geologi dan kerosakan paip pembetung.
Bagaimanapun, beliau berkata, pampasan belum dimuktamadkan kerana bergantung kepada hasil rundingan bersama pihak berkaitan.
Menurutnya, keluarga mangsa berharap rundingan dapat disegerakan kerana waris perlu kembali ke India bagi urusan bank dan dokumentasi rasmi selepas menerima sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pada Rabu.
“Seorang waris yang bekerja sebagai buruh di India juga kehilangan pekerjaan kerana perlu berulang-alik ke Malaysia bagi menguruskan dokumentasi dan proses berkaitan kematian mangsa.
“Selain itu, keluarga juga perlu menjaga bapa yang mempunyai komplikasi kesihatan termasuk penyakit jantung,” katanya yang hadir bersama anak tunggal mangsa, M Surya.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi berkata, cadangan pampasan tersebut mengambil kira faktor usia, pekerjaan serta tanggungan keluarga mangsa.
Beliau berkata, keluarga tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya rundingan pampasan gagal mencapai persetujuan.
Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India ketika berjalan di kawasan itu sebelum hilang dibawa arus bawah tanah.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama sembilan hari bagaimanapun gagal menemukan mangsa sebelum ditamatkan pihak berkuasa.





