Keluarga tak sedar anak setahun lima bulan berlari ke tengah jalan - Polis

LocalFamily & Parenting
25 Mar 2026 • 8:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kanak-kanak lelaki yang videonya tular berlari ke tengah jalan di Jalan Seremban- Kuala Pilah berhampiran Klinik Desa Tanjung Ipoh di sini disahkan berusia setahun lima bulan.

KUALA PILAH - Kanak-kanak lelaki yang videonya tular berlari ke tengah jalan di Jalan Seremban- Kuala Pilah berhampiran Klinik Desa Tanjung Ipoh di sini disahkan berusia setahun lima bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Mustafah Hussin berkata, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku jam 9 malam ketika kanak-kanak terbabit sedang bermain di hadapan rumah.

"Pada jam 3 petang, polis telah mengesan satu rakaman video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang kanak-kanak melintas jalan.

"Siasatan polis mendapati, kejadian berlaku malam tadi (Selasa) ketika anak kecil itu sedang bermain di hadapan rumah bersama dua abangnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun ujarnya, kanak-kanak berkenaan secara tiba-tiba melintas jalan tanpa disedari ahli keluarga.

Jelasnya, seorang pengguna jalan raya yang menyedari kejadian tersebut segera memberhentikan kenderaan bagi menyelamatkannya.

"Dia kemudiannya diserahkan semula kepada penjaga dan tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku.

"Polis masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kejadian terbabit," katanya.

Tambahnya, pemantauan rapi dan berterusan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.