
TAWAU: Pelaksanaan Projek Southern Link Sabah (SLS) dilihat berupaya mengatasi isu kritikal keperluan 200MW kuasa bekalan elektrik di Pantai Timur sekali gus membuka lembaran baharu terhadap lonjakan ekonomi negeri ini menjelang tahun 2030.
Menerusi projek SLS penyaluran kuasa elektrik dirangka menghubungkan Sipitang, Tenom, Kalabakan dan Tawau sepanjang 330KM seterusnya membolehkan Pantai Timur tidak perlu hanya bergantung kepada penerimaan bekalan dari Pantai Barat semata-mata.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan optimis pelaksanaan SLS akan membolehkan gangguan bekalan seperti akibat insiden tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang baru-baru ini sehingga penghantaran elektrik ke Pantai Timur terputus dan mengundang kegusaran ramai pengguna dapat diatasi.
“Malah pelaksanaan projek ini akan dapat menambah keyakinan pelabur luar untuk membuat pelaburan di Sabah termasuk di Pantai Timur.
“Ia dilihat turut membolehkan berlaku limpahan ekonomi kepada rakyat dan meningkatkan hasil dalam negeri,” katanya.
Nizam berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kung Ming pada Sabtu.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan dana bernilai RM765 juta dalam Belanjawan 2026 pada Jumaat bagi projek penghantaran kuasa elektrik berkapasiti 275KV untuk melengkapkan talian sambungan bekalan di seluruh Sabah.
Dalam pada itu Nizam menyatakan pelaksanaan SLS sudah lama ditunggu rakyat Sabah malahan kepimpinan Kerajaan Persekutuan juga beberapa kali bertukar ganti sehinggalah Kerajaan Madani terbuka meluluskan peruntukan untuk projek itu.
“Hanya ketika era Kerajaan Madani baharulah projek ini berhasil diluluskan dan sudah tentu perkembangan sebegini menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap keperluan dan kepentingan rakyat negeri ini,” ujarnya.
Beliau juga percaya penting untuk Sabah memastikan Kerajaan Negeri tidak ditadbir oleh pihak-pihak yang suka berkonfrontasi dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengelak kesan buruk yang mungkin menimpa rakyat dan negeri.
Mengulas lanjut Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan peruntukan yang semakin meningkat kepada Sabah dari RM6.7 bilion pada Bajet 2025 kepada RM6.9 bilion dalam Bajet 2026.
