Kelulusan Secure2u Di Aplikasi MAE Kini Menggunakan Pengesahan Biometrik

LocalTechnology
30 Oct 2025 • 6:42 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Maybank mengeluarkan makluman terkini mengenai pengesahan biometrik untuk kelulusan Secure2u melalui aplikasi MAE yang diperkenalkan secara berperingkat mulai sekarang. Langkah ini diambil bagi meningkatkan keselamatan perbankan dalam talian pengguna.

image is not available

Dengan penambahbaikan ini, Secure2u akan menggunakan pengesahan biometrik seperti Face ID atau cap jari bagi mengelakkan transaksi tanpa kebenaran. Ia melengkapi ciri keselamatan sedia ada seperti akses satu peranti, perlindungan perisian hasad dan Money Lock supaya pengguna kekal dilindungi.

Penambahbaikan ini akan diberikan terlebih dahulu untuk pindahan pihak ketiga seperti Pindahan Dana Antara Bank (IBFT), Interbank Giro (IBG) dan pindahan DuitNow, manakala perkhidmatan-perkhidmatan lain akan menyusul secara berperingkat.

image is not available

Untuk menggunakan ciri ini, jika pengesahan biometrik diaktifkan pada peranti, pengguna hanya perlu melakukan transaksi seperti biasa. Kemudian ketik ‘Approve’ pada skrin Secure2u dan gunakan Face ID, pengecaman wajah atau cap jari apabila diminta.

Setelah disahkan, transaksi anda akan diluluskan seperti biasa. Namun, jika pengesahan biometrik tidak diaktifkan atau gagal, anda masih boleh meluluskan transaksi menggunakan PIN MAE enam digit yang telah ditetapkan semasa pendaftaran aplikasi.

image is not available

Jika pengguna mengesyaki terdapat akses tanpa kebenaran ke akaun mereka disarankan untuk segera mengaktifkan ciri Kill Switch melalui aplikasi MAE atau laman web Maybank2u supaya akses dapat disekat sementara dan wang dilindungi.