Kem Brumas SSB buka peluang lawat koridor hidupan liar

LocalEnvironment
15 Nov 2023 • 4:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Konflik hidupan liar dan manusia dalam sektor perladangan sudah berubah 360 darjah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwoods Berhad (SSB), Datuk Mohd Daud Tampokong.

Katanya, jika dahulu, manusia takut dan berasakan hidupan liar adalah musuh.

“Namun, dengan adanya pelbagai program bersama Tabung Alam Sedunia (WWF) dan badan bukan kerajaan (NGO) lain, persepsi ramai terhadap hidupan liar bukan lagi dianggap musuh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, SSB sendiri sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), memperkenalkan pelbagai kaedah agar hidupan liar tidak menjadi musuh, termasuk mewujudkan Koridor Hidupan Liar di kawasan Kem Brumas untuk memastikan hidupan liar, khususnya gajah, tidak menceroboh masuk ke kawasan perladangan.

Koridor seluas 1,067 hektar itu menghubungkan dua hutan simpan yang terpisah iaitu Hutan Simpan Ulu Kalumpang dan Hutan Simpan Ulu Segama, yang berfungsi untuk memudahkan hidupan liar bergerak dari satu hutan ke hutan satu lagi tanpa gangguan.

“Inilah sumbangan yang kita kongsikan dengan pihak syarikat lain seperti Sime Darby dan Felda, khususnya pemuliharaan gajah serta hidupan lain yang ada di sini, agar khazanah ini dapat dilihat generasi akan datang,” katanya.

Malah, katanya, sejak enam bulan kebelakangan ini, SSB secara rasminya mula membuka peluang kepada pihak luar untuk melawat Ladang Perkayuan Brumas bagi melihat sendiri fungsi Koridor Hidupan Liar tersebut.

“Kita ada pakej untuk ditawarkan kepada pelawat yang mahu merasai sendiri pengalaman melawat koridor yang dibina sejak 2012, dalam usaha kita menangani konflik hidupan liar dan manusia, khususnya gajah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menyediakan rumah rehat, asrama dan rumah-rumah yang dijadikan inap desa, serta pelbagai kemudahan lain untuk kegunaan pelawat dari luar.

“Sebelum ini kita hanya menerima pelawat jemputan sahaja tetapi kini, kita terbuka menerima kehadiran kumpulan-kumpulan besar yang mahu mengadakan hari keluarga, aktiviti membina pasukan dan sebagainya.

“Istimewanya Kem Brumas adalah, semua fasiliti sudah tersedia jika ada pihak luar mahu datang melawat sisi lain SSB, selain daripada aktiviti perladangan kayu dan kelapa sawit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pelawat perlu mengikuti prosedur tertentu memandangkan kawasan ladang itu merupakan tanah persendirian.

Mohd Daud berkata, selain gajah pygmy, kawasan kem terbabit turut menjadi habitat pelbagai hidupan liar lain seperti orang utan, burung enggang, harimau kumbang, beruang madu dan sebagainya yang dilihat dalam perangkap kamera.

Berkongsi lanjut, beliau berkata, pihaknya baru-baru ini menerima kunjungan kru penyiaran luar negara iaitu BBC News yang melakukan penggambaran berkaitan hidupan liar semula jadi yang terdapat di Kem Brumas.

“Kita juga menyambut tetamu dari Sweden dan Norway yang tertarik dengan hidupan liar dan juga perladangan kayu di Kem Brumas.

“Mereka amat tertarik dengan perusahaan kayu kertas di sini, yang hasilnya boleh dituai dalam tempoh tujuh tahun, berbanding pokok yang mereka tanam di negara Eropah, yang hasilnya mungkin hanya dapat dituai cucu mereka,” katanya.

Untuk rekod, Ladang Perkayuan Brumas mempunyai kapasiti pengeluaran industri kertas sehingga 400,000 tan setahun.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article