
NUKLEAR sering dikaitkan dengan letupan, radiasi dan tragedi besar dunia. Bagi sesetengah pelajar, itulah gambaran pertama yang muncul setiap kali teknologi berkenaan disebut.
Namun, tanggapan itu mula berubah apabila mereka diberi peluang melihat sendiri bagaimana teknologi nuklear digunakan dalam kehidupan menerusi Kem Rakan Nuklear di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.
Dilaksanakan pada 14, 15 dan 17 September lalu, program di bawah Program Advokasi Nuklear itu membawa pelajar mendekati dunia nuklear menerusi eksperimen, interaksi bersama saintis serta lawatan ke persekitaran penyelidikan sebenar.
Mengangkat konsep ‘Teroka STEM, Kenali Nuklear, Cipta Masa Depan’, program yang diusahakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu memberi tumpuan kepada STEM, sains dan teknologi nuklear serta penerokaan kerjaya.
Dirangka menerusi tiga fasa iaitu Kenali, Eksplorasi dan Hayati, pelajar tidak hanya menjadi pendengar, sebaliknya terbabit dalam aktiviti hands-on bagi memahami konsep yang sebelum ini lebih banyak dipelajari menerusi buku teks.
Guru Kimia MRSM Kuala Kubu Bharu, Aida Azira Mohamed berkata, pendekatan sedemikian membantu pelajar menghubungkan teori di dalam kelas dengan penggunaan teknologi sebenar.
“Dalam dunia sains dan teknologi kita memang belajar mengenai radioaktif. Jadi menerusi program seperti ini, mereka boleh aplikasikan apa yang dipelajari dalam kelas kepada kehidupan sebenar.
“Kalau sebelum ini hanya mendengar atau melihat daripada video dan Internet, kali ini mereka mendapat pendedahan secara langsung bahawa nuklear mempunyai banyak manfaat,” katanya.
Menariknya, pendedahan itu bukan hanya memberi kesan kepada pelajar aliran sains apabila guru daripada bidang lain turut mendapat pengetahuan baharu mengenai penggunaan teknologi nuklear termasuk dalam perubatan dan penghasilan makanan.
Guru Pendidikan Islam, Mohamad Faizul Mohamed Din mengakui beliau sendiri sebelum ini lebih cenderung melihat nuklear sebagai sesuatu yang berbahaya.
Namun, penerangan secara langsung daripada pakar dan wakil Agensi Nuklear Malaysia membuka perspektif baharu apabila beliau mengetahui teknologi berkenaan telah lama digunakan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perindustrian dan perubatan.

Menurutnya, program seumpama itu wajar diperluas kerana bukan semua orang mempunyai pengetahuan mencukupi untuk menerangkan isu berkaitan nuklear terutama melibatkan sinaran, keselamatan dan penggunaannya.
Perubahan sama dapat dilihat dalam kalangan pelajar, Amar Faiq Baharuddin, 15, yang mengakui sebelum mengikuti program itu, nuklear baginya lebih sinonim dengan bahaya dan perkara negatif.
“Secara jujurnya, saya pun ingat nuklear adalah sesuatu yang bahaya dan negatif. Tetapi menerusi program ini saya dapat memahami teknologi nuklear sangat berguna dan banyak perkara baharu yang saya pelajari.
“Saya baru sedar teknologi nuklear digunakan dalam banyak perkara dalam kehidupan harian. Saya memang meminati sains dan teruja apabila diperkenalkan kepada teknologi ini,” katanya.
Rakannya, Ameera Mohd. Erwan pula berkata, pengetahuannya mengenai nuklear sebelum ini banyak terbentuk daripada kisah Hiroshima, Chernobyl, letupan dan tragedi.
Selepas mengikuti Kem Rakan Nuklear, beliau mula memahami teknologi tersebut boleh digunakan secara selamat apabila dikendalikan dengan betul dan terkawal, malah mula berminat meneroka bidang itu sebagai antara pilihan kerjaya pada masa hadapan.
Antara kekuatan program berkenaan ialah pendekatan praktikal apabila pelajar menjalani mini eksperimen menggunakan kebuk awan untuk melihat jejak zarah, mengenali alat pengukur sinaran serta memahami fungsi peralatan perlindungan diri.
Mereka turut menyertai Bengkel Pencarian Rakan Nuklear dengan menghasilkan video pendek bagi berkongsi fakta dan membetulkan salah faham mengenai teknologi nuklear.
Pengalaman berkenaan kemudian dilengkapkan dengan lawatan ke fasiliti Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom, membawa mereka dari bilik darjah kepada persekitaran sebenar dunia penyelidikan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal berkata, pendekatan pembelajaran secara interaktif penting dalam menarik minat generasi muda untuk memahami teknologi nuklear melalui pengalaman yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.
Katanya, pendekatan sama turut diketengahkan menerusi Program Pembudayaan STI Bersepadu Zon Sabah 2026 di Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini apabila
Program Advokasi Nuklear membawa pengisian antaranya Misi Eksplorasi Nuklear berkonsepkan Escape Room.
“Apabila sains boleh diteroka dan dialami sendiri, pelajar lebih mudah untuk bertanya, memahami dan mengaitkannya dengan apa yang mereka pelajari.
“Kita mahu generasi muda melihat teknologi nuklear bukan semata-mata dari sudut risiko, tetapi memahami teknologi ini mempunyai aplikasi dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pertanian, industri dan penyelidikan,” katanya.
Program Advokasi Nuklear dilaksanakan dengan kerjasama Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik, manakala Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara bertindak sebagai rakan pelaksana.
The post Kem Rakan Nuklear dekatkan murid dunia sebenar sains appeared first on Kosmo Online.




