Kem Stem platform pupuk minat pelajar

LocalTechnology
8 Dec 2025 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Kem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berperanan sebagai platform penting dalam memupuk pendidikan Stem melalui aktiviti sains dan teknologi secara praktikal.

Timbalan Menteri Mosti Datuk Dr Mohd Yusof Apdal berkata program seumpama itu menyediakan peluang kepada para pelajar untuk meneroka eksperimen, penyelesaian masalah serta aplikasi Stem dalam dunia sebenar.

Menurutnya kem berkenaan mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria dan menyeronokan sekali gus mampu mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan kanak-kanak untuk menerokai bidang terbabit.

“Kem Stem ini direka untuk memupuk minat awal dengan membolehkan pelajar belajar melalui penerokaan bukan hanya berasaskan teori semata-mata.

“Pendekatan ini membantu kanak-kanak membina kemahiran penting seperti pemikiran kritikal, kreativiti serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

“Program seperti ini juga memainkan peranan penting dalam menyediakan generasi akan datang bagi menghadapi bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi dan lain-lain,” katanya.

Yusof berkata demikian ketika merasmikan Program Kem Stem di Sekolah Kebangsaan (SK) Silam.

Mengulas lanjut beliau menyatakan pendedahan awal melalui program seperti itu dapat membantu pelajar mengenal kekuatan diri dan membayangkan masa depan mereka.

Beliau turut menggalakan pelajar agar melihat kesilapan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran serta terus bertanya soalan sebagai cara membina keyakinan dalam subjek Stem.

“Saya berharap kem Stem ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk menuntut ilmu dengan penuh semangat dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu Yusof menambah Mosti akan terus menyokong inisiatif seumpama itu melalui cabaran inovasi, program celik digital serta peluang meneroka teknologi baharu.