
Kritikan terhadap dasar kerajaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, terutamanya berkaitan kos sara hidup, pemansuhan subsidi, dan keperluan infrastruktur. Namun, amat tidak adil jika hanya melihat kelemahan tanpa mengiktiraf segala usaha dan pembaharuan yang telah serta sedang dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
Kerajaan komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus diutamakan melalui pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan luar bandar, penambahbaikan infrastruktur, serta bantuan kewangan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pembangunan luar bandar terus dipacu dengan peruntukan besar bagi membekalkan air bersih, elektrik, dan jalan berturap khususnya di Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Sabah, dan Sarawak. Ini jelas menunjukkan kerajaan serius dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, memastikan tiada kawasan yang tertinggal dalam arus kemajuan negara.
Kerajaan turut memberi fokus kepada pengurangan kadar kemiskinan, terutama bagi golongan miskin bandar dan miskin tegar. Langkah yang diambil tidak lagi bersifat menyeluruh, sebaliknya mengikut pendekatan bersasar yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.
Agihan Bantuan Secara Saksama
Tuduhan bahawa kerajaan hanya membantu satu kaum adalah tidak berasas. Hakikatnya, masyarakat Cina, India, serta mereka di kawasan luar bandar dan kurang membangun turut menerima manfaat daripada pelbagai program yang telah dirangka bagi meningkatkan peluang ekonomi dan taraf sosial.
Kampung Baru Cina menerima pelbagai peruntukan bagi menaik taraf infrastruktur, perumahan, dan kemudahan awam. Usahawan Cina turut diberikan akses kepada pinjaman mudah, geran perniagaan, serta bantuan kewangan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang. Selain itu, pelajar dari keluarga berpendapatan rendah turut dibantu menerusi pelbagai inisiatif pendidikan supaya mereka tidak tercicir dalam sistem pendidikan negara.
Kaum India juga tidak dipinggirkan. Bantuan kewangan khas disalurkan kepada pemilik perniagaan kecil, usahawan wanita, serta pelajar yang memerlukan. Pelbagai skim pembiayaan diperkenalkan bagi memperkasakan ekonomi komuniti India, mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan semua kaum mendapat peluang yang adil dan saksama.
Sebagai rakyat yang prihatin, kita harus sedar bahawa Perdana Menteri sedang membawa negara melalui fasa transformasi ekonomi yang sangat penting. Fokus utama adalah memastikan semua rakyat, tanpa mengira kaum atau latar belakang, menikmati pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan yang berkualiti, pendidikan terbaik, dan taraf hidup yang lebih baik. Perubahan yang dibuat hari ini bukan sekadar retorik politik, tetapi bertujuan membina Malaysia yang lebih kukuh dan stabil untuk generasi akan datang.
Sabah dan Sarawak Tidak Diketepikan
Dakwaan bahawa kerajaan meminggirkan pembangunan di Sabah dan Sarawak adalah tidak tepat. Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang berjalan adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh dan merancakkan ekonomi di Malaysia Timur.
Dalam masa yang sama, pelbagai projek pembangunan luar bandar turut diperkasa, termasuk penambahbaikan sekolah, hospital, dan infrastruktur awam lain. Kerajaan juga memperuntukkan bajet tambahan bagi penyelenggaraan jalan persekutuan dan projek infrastruktur kritikal, memastikan pertumbuhan seimbang antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
Fakta Sebenar Mengenai Pembinaan Semula Gaza
Kebelakangan ini, ada pihak yang mempertikai penglibatan Malaysia dalam usaha membangunkan semula Gaza. Mereka beranggapan bahawa setiap dana seharusnya disalurkan untuk keperluan domestik semata-mata. Namun, adakah mereka memahami fakta sebenar?
Hakikatnya, pembinaan semula Gaza bukan dibiayai oleh wang pembayar cukai atau bajet kerajaan.
Inisiatif ini adalah kerjasama antara Malaysia dan Jepun, yang dibiayai melalui sumbangan korporat, dana antarabangsa, dan wakaf. Justeru, dakwaan bahawa usaha ini menjejaskan pembangunan Malaysia adalah tidak berasas.
Apa Itu Waqaf?
Waqaf adalah sistem kewangan Islam di mana sumbangan dilakukan secara sukarela bagi kepentingan umum, termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur. Ia bukan sebahagian daripada hasil cukai kerajaan, tetapi dibiayai oleh individu dan organisasi yang menyumbang atas dasar keprihatinan.
Bagi projek pembangunan Gaza, dana diperoleh daripada sumbangan waqaf korporat dan kerjasama antarabangsa, termasuk kerjasama Malaysia-Jepun di bawah rangka Kerjasama Asia Timur.
Ringkasnya:
1. Tiada satu sen pun daripada bajet negara digunakan.
2. Sumbangan ini adalah khusus untuk tujuan kemanusiaan.
3. Sumbangan waqaf hanya melibatkan penyumbang beragama Islam dan tidak membebankan bukan Islam.
Mengapa Malaysia Perlu Terlibat?
Malaysia bukan baru dalam usaha kemanusiaan global. Sebelum ini, negara kita telah membantu membangunkan semula Bosnia, Afghanistan, dan pelarian Rohingya. Gaza adalah kesinambungan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan kemanusiaan.
Selain itu, sebagai Pengerusi ASEAN untuk tiga tahun akan datang, Malaysia bertanggungjawab memainkan peranan lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa. Penglibatan ini bukan sahaja meningkatkan reputasi negara di peringkat global, tetapi juga membuka ruang untuk pelaburan asing dan kerjasama ekonomi, yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat sendiri.
Adakah Ini Bermakna Keperluan Tempatan Diketepikan?
Sama sekali tidak. Kerajaan terus mengutamakan pembangunan domestik, dengan pelaburan besar dalam infrastruktur, bantuan ekonomi, dan pengurangan kadar kemiskinan.
Membantu Gaza tidak bermaksud Malaysia mengabaikan rakyatnya sendiri. Kedua-dua tanggungjawab domestik dan antarabangsa diurus secara mampan dan strategik, kerana kestabilan negara, pertumbuhan ekonomi, dan kredibiliti antarabangsa saling berkait rapat.
Transformasi Negara Tidak Berlaku Dalam Sehari
Adakah adil untuk mengatakan kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk rakyat? Fakta jelas menunjukkan sebaliknya. Rome tidak dibina dalam sehari, begitu juga dengan pembangunan Malaysia. Transformasi ekonomi, pembangunan infrastruktur, dan pengurangan kemiskinan memerlukan masa untuk membuahkan hasil yang sebenar.
Walaupun tuntutan penambahbaikan adalah wajar, kita juga harus mengiktiraf pencapaian yang telah dicapai. Fokus utama Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi, meningkatkan pembangunan infrastruktur, dan mengurangkan kadar kemiskinan, usaha yang kini mula menampakkan hasil dan membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah.
Daripada hanya melihat kelemahan dan menunggu kesempurnaan, lebih baik kita menghargai kemajuan, bersabar, dan berganding bahu membina Malaysia yang lebih kukuh untuk generasi akan datang.
Oleh Dr Mahathir Mohd Rais
Dr. Mahathir adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.

