Kemajuan, impak dan hala tuju reformasi tatakelola negara

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 7:17 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kemajuan, impak dan hala tuju reformasi tatakelola negara

STRATEGI Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 merupakan manifestasi komitmen politik dan institusi yang jelas dalam memperkukuh tatakelola, integriti serta akauntabiliti negara.

Dilancarkan pada Mei 2024, strategi ini bukan sekadar kesinambungan kepada pelan terdahulu, tetapi satu pendekatan yang lebih tersusun, berfasa dan berpaksikan pelaksanaan yang boleh diukur.

NACS dibangunkan sebagai rangka kerja strategik menyeluruh yang mengintegrasikan pembaharuan perundangan, pengukuhan sistem, pemerkasaan pendidikan serta penglibatan sektor swasta dan masyarakat secara kolektif.

Setakat awal Oktober 2026, sebanyak 41 substrategi telah berjaya diselesaikan. Pencapaian itu bukan sekadar ang­ka, ia mencerminkan kesediaan jentera Kerajaan untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan konkrit.

Pelaksanaan substrategi ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi peneraju yang memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam.

Yang lebih penting, NACS tidak dilihat sebagai dokumen dasar yang statik. Ia merupakan dokumen hidup yang berkembang selari de­ngan cabaran semasa dan keperluan reformasi institusi yang dinamik.

Kemajuan pelaksanaan: Daripada rangka kerja kepada hasil nyata

Pelaksanaan 41 substrategi sehingga awal Oktober 2026 merangkumi pelbagai bidang keutamaan, termasuk penggubalan undang-undang baharu, penambahbaikan sistem digital, pengukuhan mekanisme pemantauan, reformasi struktur pentadbiran serta pembudayaan integriti melalui pendidikan.

Antara pencapaian signifikan ialah:
1. Penggubalan Akta Agensi
Kawalan dan Perlindungan Sempadan 2025
2. Penggubalan Akta Perolehan Kerajaan 2025
3. Penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025
4. Pindaan Akta Imigresen 2025
5. Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2025
6. Pelaksanaan Pusingan Kerja, Demerit Performance Evaluation (DEEP)
7. Garis Panduan Berkaitan Pe­ranan dan Tanggungjawab Pegawai Jabatan Audit Negara yang Ditempatkan di Unit Audit Dalam Kementerian/Jabatan/Agensi/Pejabat SUK
8. Insentif Kewangan Tambahan Daripada Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) Bagi Penghasilan Kandungan Kreatif Khusus
9. Kewajiban Syarikat Untuk Mengisytiharkan Pemunya Benefisial Untuk Mengambil Bahagian Dalam Perolehan Awam
10. Pensijilan MS ISO 37001 kepada syarikat yang membida kontrak Kerajaan melebihi RM100 juta (pembinaan)
11. Insentif Cukai Dalam Kalangan Syarikat yang memperoleh akreditasi Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) ISO 37001

Dalam bidang pendidikan pula, pelaksanaan penuh modul integriti dan antirasuah di institusi pengajian tinggi serta pengukuhan elemen integriti dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah menunjukkan komitmen jangka panjang dalam membentuk generasi beretika.

Pendidikan dilihat sebagai pelaburan struktur yang akan menghasilkan impak berpanjangan terhadap budaya pentadbiran dan kepimpinan negara.
Penambahbaikan sistem pengurusan aduan melalui pembangunan Complaints Management System 3.0 (CMS 3.0) serta peningkatan sistem saringan penjawat awam melalui E-Vetting 3.0 turut memperkukuh aspek pencegahan dan pengesanan awal risiko integriti.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa pembanterasan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh – bukan hanya melalui penguatkuasaan, tetapi juga melalui pencegahan berasaskan sistem.

Pemantauan berasaskan data dan kebertanggungjawaban institusi

Salah satu pembaharuan pen­ting di bawah NACS ialah pemba­ngunan sistem papan pemuka digital bagi tujuan pemantauan pelaksanaan substrategi. Pendekatan ini membolehkan kemajuan dinilai secara berkala, objektif dan berasaskan data.

Pemantauan berstruktur ini meningkatkan tahap kebertanggungjawaban agensi pelaksana, memudahkan pengenalpastian cabaran pelaksanaan serta membolehkan tindakan pembetulan dilaksanakan dengan lebih cepat.

Keupayaan untuk menilai pelaksanaan secara sistematik adalah elemen kritikal dalam memastikan strategi nasional tidak terhenti pada peringkat perancangan semata-mata.

Cabaran utama kini bukan lagi pada peringkat penggubalan strategi, tetapi keupayaan melaksanakannya secara berkesan dan menyeluruh di peringkat akar umbi.

Justeru, Bahagian Peranca­ngan Governans Nasional (BPGN) di bawah SPRM diberi tanggungjawab untuk memastikan semua substrategi di bawah NACS dilaksanakan mengikut perancangan dan sasaran.

Bagi menyokong usaha ini, dua sistem dashboard berasingan telah dibangunkan menggunakan pelayan SPRM.

Dashboard pertama, dikenali sebagai r-NACS, berfungsi sebagai instrumen pemantauan prestasi secara suku tahunan antara Sekretariat NACS dan Agensi Peneraju. Ia membolehkan pemantauan dalaman dilaksanakan secara sistematik dan bersandarkan data yang dikemas kini secara berjadual.

Dashboard kedua, dinamakan d-NACS, dibangunkan untuk tatapan umum sebagai langkah ke­telusan. Ia memaparkan jumlah substrategi yang telah disempurnakan oleh setiap agensi, termasuk hasil atau output seperti dasar baharu, pindaan undang-undang, kajian serta dokumen pelaksanaan lain yang te­lah dihasilkan di bawah strategi ini.
Melalui pendekatan ini, tatakelola yang baik dijadikan budaya kerja yang berterusan dan bukan inisiatif bersifat sementara.

Pendidikan dan pembudayaan integriti sebagai teras pencegahan

Pencegahan rasuah dalam jangka panjang memerlukan perubahan nilai dan budaya masyarakat. Justeru, NACS memberi penekanan khusus kepada pendidikan dan pembudayaan integriti.

Elemen integriti kini diterapkan secara lebih sistematik dalam buku teks sekolah, modul pembelajaran institusi pengajian tinggi serta latihan teknikal dan vokasional.

Pendekatan ini memastikan nilai etika tidak diperkenalkan secara sporadik, sebaliknya dibentuk secara berperingkat dan konsisten sepanjang proses pendidikan.

Generasi muda yang dididik dengan nilai integriti diyakini mampu menjadi pemangkin reformasi sistem apabila mereka kelak menggalas tanggungjawab kepimpinan.

Oleh itu, pendidikan bukan lagi dianggap komponen sokongan, tetapi strategi teras dalam pembinaan ekosistem antirasuah yang lestari.

Penglibatan sektor swasta: Dari kepatuhan kepada komitmen

Kerajaan mengiktiraf bahawa risiko rasuah sering berlaku di titik pertemuan antara sektor awam dan swasta, khususnya dalam proses perolehan dan pelaburan.

Sehubungan itu, penggalakan pensijilan MS ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) bagi syarikat tertentu yang terlibat dalam perolehan kerajaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh pematuhan korporat.

Pensijilan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen organisasi terhadap pengurusan risiko rasuah secara sistematik dan berstruktur.

Ia juga selari dengan peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan liabiliti korporat terhadap kesalahan rasuah.

Selain penguatkuasaan, pelbagai bentuk insentif turut dipertimbangkan, termasuk potongan cukai bagi penyertaan program antira­suah, pengiktirafan kepada pemberi maklumat, penambahbaikan elaun saksi kes rasuah serta galakan penghasilan kandungan kreatif bertemakan integriti.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa agenda antirasuah memerlukan kombinasi penguatkuasaan, galakan dan perubahan budaya korporat.

Aspirasi Indeks Persepsi Rasuah (CPI): Reformasi yang Bermakna Malaysia telah menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 25 negara teratas Indeks Persepsi Ra­suah menjelang tahun 2030.

Namun, tumpuan utama bukan sekadar memperbaiki kedudukan, tetapi melaksanakan reformasi sebenar yang meningkatkan kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap sistem pentadbiran negara.

Penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI mencerminkan pendekatan bersepadu dalam menganalisis jurang dan merangka intervensi strategik.

Fokus diberikan kepada aspek penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, pembaharuan perundangan dan komunikasi strategik.
Pendekatan kolaboratif antara kementerian dan agensi ini bertujuan memastikan setiap pembaharuan yang dilaksanakan bersifat substantif dan berimpak jangka panjang.

Peranan kepimpinan dan reformasi institusi

Di peringkat tertinggi, Mesyua­rat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional memainkan pe­ranan penting dalam merangka dan menyelaras pembaharuan dasar berkaitan tatakelola dan integriti.

Pelbagai garis panduan dan cadangan penggubalan rang undang-undang telah diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan serta maklumat awam.

Langkah ini menunjukkan bahawa agenda antirasuah bukan inisiatif terasing, tetapi sebahagian daripada reformasi institusi yang menyeluruh dan didorong oleh kepimpinan tertinggi negara.

Cabaran dan kelestarian pelaksanaan

Walaupun kemajuan setakat ini amat memberangsangkan, cabaran utama kini tertumpu kepada memastikan kelestarian pelaksanaan di peringkat operasi dan akar umbi.

Kejayaan sebenar NACS tidak hanya diukur melalui jumlah substrategi yang diselesaikan, tetapi sejauh mana perubahan sistemik dapat dirasai oleh rakyat dalam bentuk perkhidmatan yang lebih telus, cekap dan adil.

Penyelarasan berterusan antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan menjadi faktor kritikal dalam memastikan setiap inisiatif kekal relevan dan berfungsi dengan berkesan.

Reformasi tatakelola memerlukan komitmen jangka panjang, di­siplin pelaksanaan serta keberanian institusi untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan.

Menuju Ekosistem Integriti yang Lestari

NACS 2024–2028 bukan sekadar pelan tindakan lima tahun. Ia merupakan pendekatan transformasi nasional yang bertujuan menginstitusikan integriti sebagai asas dalam setiap aspek pentadbiran dan pembangunan negara.

Dengan kesinambungan iltizam politik, pengukuhan sistem pemantauan, penglibatan sektor swasta dan pembudayaan integriti melalui pendidikan, Malaysia berada pada landasan yang lebih kukuh untuk membina ekosistem tatakelola yang telus, bertanggungjawab dan berdaya tahan.

Agenda antirasuah bukan tanggungjawab satu agensi semata-mata. Ia adalah komitmen kolektif yang memerlukan kerjasama seluruh jentera Kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil.

Dengan pendekatan menyeluruh ini, NACS berpotensi menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan kepercayaan awam dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik di peringkat antarabangsa.

Penulis merupakan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM -KOSMO! ONLINE

The post Kemajuan, impak dan hala tuju reformasi tatakelola negara appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved