Kemajuan projek LCS: Mindef sedia beri kerjasama kepada PAC - Adly

7 Sep 2023 • 9:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KAJANG: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (gambar), berkata kementeriannya sentiasa bersedia dan komited untuk memberi kerjasama berhubung maklumat projek LCS sama ada di Parlimen atau melalui PAC.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan aktiviti Cakna Sains, Teknologi dan Inovasi (ST&I) Pertahanan bagi Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di sekolah, di sini, hari ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sebelum ini berkata pihaknya akan memanggil MINDEF bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan projek pembinaan LCS bagi bulan Jun hingga September tahun ini.

Sementara itu, mengenai aktiviti Cakna ST&I Pertahanan anjuran Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Adly berkata ia bertujuan memperkenal dan menggalakkan penglibatan pelajar dalam sains dan teknologi, khususnya aktiviti penyelidikan pertahanan.

Beliau berkata program itu selaras dengan Kertas Putih Pertahanan yang menzahirkan iltizam kerajaan untuk memperkasakan dasar sains, teknologi dan industri pertahanan dengan merangsang serta menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi termasuk dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

“STRIDE juga menganjurkan Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Tentera Masa Hadapan bagi mencungkil bakat pelajar dalam mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi untuk hasilkan projek berimpak tinggi,” katanya.

Sebanyak 47 sekolah di seluruh negara menyertai Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Tentera Masa Hadapan itu yang bermula pada 24 Mei lalu dan pertandingan akhir bakal diadakan di Melaka International Trade Centre, Melaka pada 9 Nov ini. -Bernama