Kemalangan Di Setiu: Tiga Beranak Maut Baru Pulang Majlis Konvokesyen Anak Bongsu

26 Nov 2024 • 9:18 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kemalangan Di Setiu: Tiga Beranak Maut Baru Pulang Majlis Konvokesyen Anak Bongsu

KOTA BHARU — Tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Setiu, Terengganu awal pagi Isnin, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas menghadiri majlis konvokesyen anak mereka di Universiti Antarabangsa UNITAR di Putrajaya.

Yusnani Che Soh, 50, iaitu adik ipar kepada seorang daripada mangsa, Kamaruddin Ibrahim, 55, berkata keluarga itu dipercayai bertolak pulang malam Ahad selepas majlis konvokesyen anak bongsu mereka, Nur Azwa Shamimi, 21.

Yusnani berkata dia hanya mengetahui mengenai insiden tragis itu selepas dihubungi pihak polis.

“Apa yang saya diberitahu abang ipar dan isterinya Maimunah Che Mat, 54, serta anak kedua mereka Nur Ardieana, 30, maut dalam kemalangan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman mangsa di Kampung Telipot.

Dia berkata Nur Azwa Shamimi pula mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di Hospital Setiu, Terengganu.

Dalam pada itu, jenazah tiga beranak tersebut telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Maras, Lundang di Kota Bharu, semalam.

Van membawa jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan kira-kira 9 malam selepas disembahyangkan di Masjid Telipot.

Menurut adik kepada Kamaruddin iaitu Hishamudin, 54, jenazah ketiga-tiga mangsa tiba di Kota Bharu dari Setiu kira-kira jam 6 petang.

“Saya bersyukur urusan pengebumian arwah abang dan keluarganya berjalan lancar walaupun sebelum itu hujan lebat.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan van jenazah dari Setiu dan Besut yang membawa jenazah ahli keluarga saya hingga selamat tiba di Kota Bharu.

“Kami memohon doa daripada semua agar Nur Azwa Shamimi diberikan kekuatan dan dapat melepasi tempoh kritikal,” katanya.

Sebelumnya, media melaporkan tiga beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Axia dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu.

image is not available
Sumber: Sinar Harian

image is not available
Sumber: Sinar Harian

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Mohd Zain Mat Dris dilapor berkata mereka yang terkorban dalam kemalangan pada 4.50 pagi itu ialah pasangan suami isteri Kamarudin dan Maimunah serta anak mereka Nur Ardieana yang memandu kenderaan itu.

Sumber: BERNAMA (1) (2)