
Kota Kinabalu: Seorang subkontraktor yang menjalankan kerja pemasangan sistem internet gentian optik (Yes Home Fibre Internet) berhampiran talian voltan tinggi 11kV milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) tanpa kebenaran hingga menyebabkan kemalangan elektrik yang meragut nyawa adiknya didenda RM12,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mohd Norazmie Madang, 32, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim atas pertuduhan terhadapnya.
Mohd Norazmie menjalankan kerja pemasangan Yes Home Fibre Internet berhampiran talian voltan tinggi 11kV tanpa kebenaran sah daripada SE yang mengakibatkan kemalangan elektrik dan menyebabkan kematian adiknya Mohammad Roy Zaimie Madang, 20.
Kesalahan itu berlaku pada jam 4.48 petang, 14 Januari tahun ini di Kampung Sinoko, Jalan Bambangan, Membakut.
Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 55(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55(2) enakmen sama yang memperuntukan denda sehingga RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili Mohd Norazmie memohon agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara sebaliknya hanya denda sebanyak RM10,000 dengan tempoh tahanan singkat jika gagal bayar.
Azhier memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menerima tanggungjawab penuh atas perbuatannya dan amat kesal atas tragedi yang berlaku.
“Mohd Norazmie menjalankan kerja pemasangan internet berhampiran talian voltan tinggi 11kV ketika insiden tragis itu berlaku. Malangnya mangsa yang meninggal dunia bukan orang lain tetapi adik kandungnya sendiri.
“Dia harus hidup setiap hari menanggung kesakitan emosi dan rasa bersalah kehilangan adiknya sendiri — hukuman seumur hidup yang tiada mahkamah dapat ukur.
“Dia tidak bertindak secara cuai atau mengabaikan keselamatan tetapi kerana tidak tahu keperluan mendapatkan kebenaran awal daripada pihak berlesen.
“Mohd Norazmie dan arwah adiknya hanyalah pekerja subkontraktor yang diupah di bawah kontraktor utama SwiF Fintech Sdn Bhd yang telah pun didenda oleh mahkamah atas kesalahan sama.
“Anak guam saya juga merupakan pesalah pertama sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak kecil termasuk yang masih menyusu serta merupakan pencari nafkah tunggal keluarga,” katanya.
Azhier turut berhujah bahawa undang-undang di bawah Seksyen 55 memperuntukan denda maksimum RM300,000 atau penjara tiga tahun namun di Sabah walaupun dalam kes melibatkan kematian mahkamah lazimnya mengenakan hukuman denda dan bukannya penjara.
“Menjatuhkan denda yang lebih berat tidak akan membawa keadilan sebaliknya menghukum keluarga yang sedang berduka buat kali kedua,” tambahnya.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah Andryeno Thomas memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada pihak lain menegaskan bahawa undang-undang keselamatan elektrik mesti dipatuhi.
Pada 14 Januari lalu SE menerima aduan mengenai kejadian renjatan elektrik di Kampungg Sinoko, Membakut yang mengakibatkan kematian Mohammad Roy Zaimie Madang, 20, seorang juruteknik pemasangan Wi-Fi untuk Orex Enterprise milik Mohd Norazmie.
Kejadian berlaku semasa kerja pemasangan sistem Yes Home Fibre Internet dijalankan berhampiran talian voltan tinggi 11kV milik SE yang merupakan talian Bare Wire HV (tidak berpenebat).
Kerja pemasangan itu dilakukan untuk pelanggan bernama Khong Vui Lim di mana SwiF Fintech Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor utama oleh YTL Communications Sdn Bhd untuk pemasangan dan perkhidmatan sokongan Yes Home Fibre Internet.
SwiF Fintech kemudian melantik Orex Enterprise sebagai subkontraktor bagi kerja pemasangan gentian optik. Mangsa Mohammad Roy adalah juruteknik pemasangan di bawah Orex Enterprise.
Ketika kejadian mangsa telah melontar kabel gentian optik ke atas talian voltan tinggi SE yang masih berarus. Semasa menarik kembali kabel tersebut berlaku renjatan elektrik yang menyebabkan mangsa terkena kejutan elektrik dan melecur.
Siasatan mendapati para pekerja di lokasi termasuk mangsa tidak memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap seperti kasut keselamatan, topi keledar dan sarung tangan.
Kerja yang dijalankan tidak mendapat kebenaran daripada SE dan tiada Permit Mula Kerja pernah dipohon oleh Mohd Norazmie.
