Kemalangan maut anak editor kanan Astro Awani: Polis masih lakukan siasatan lanjut

LocalPolitics
22 Mar 2026 • 6:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian mengenai JPJ nafi 'kejar lori' punca kemalangan maut.

TANAH MERAH - Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan maut di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli di sini pada Jumaat yang melibatkan anak kepada editor kanan Astro Awani.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, Mursyid Azmi, 25, yang merupakan anak kepada Husna Yusop meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Jeli.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, kenyataan sebelum ini berkait dengan kemalangan itu dibuat berpandukan kepada siasatan awal di lokasi kejadian.

"Siasatan itu termasuk keterangan saksi serta penemuan fizikal.

"Jadi...dakwaan bahawa pihak polis membuat kesimpulan tanpa asas adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di laman sosial Facebook Polis Daerah Tanah Merah pada Ahad.

Menurut beliau, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional melibatkan pelbagai aspek.

Beliau berkata, ia termasuk keterangan saksi, analisis forensik serta penelitian teknikal di lokasi kejadian.

Mohd Haki memberitahu, pihaknya meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan adil.

Dalam pada itu, ujar beliau, polis memandang serius penularan tangkap layar yang dikaitkan dengan kejadian ini.

"Hasil semakan mendapati tangkap layar tersebut tidak berlaku di Tanah Merah dan tidak berkaitan dengan tarikh kejadian sebenar.

"Ia tidak relevan serta mengelirukan," katanya.

Menurut Mohd Haki, individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah atau menghubungi balai polis berhampiran.

Media pada Sabtu melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menafikan dakwaan kenderaan jabatan sebagai punca kemalangan di KM 85.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli (Kampung Rahmat, Bukit Bunga), Tanah Merah, seperti yang tular di media sosial.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat berhubung insiden berkenaan.